Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terkurung di Wuhan, anak Sarawak tetap tenang dan harap dapat pulang

Mahasiswa dari Bintulu yang terkandas di Universiti Geosians China di Wuhan, Ivan Yeo Zhi Yu, cuba untuk bertenang dan tidak mahu terlalu memikirkan musibah yang melanda bandar didiaminya itu.

Sungguhpun terpaksa berkurung di dalam bilik asrama sejak sambutan Tahun Baru China lalu bukan sesuatu yang mudah, Yeo sentiasa melakukan sesuatu bagi mengisi waktu senggangnya.

Pada masa sama dia sudah bersedia meninggalkan negara itu bersama rakan satu universiti yang ditaja kerajaan Sarawak, Balachandar Subramaniam, 43, yang berada di sana bersama isteri serta dua anaknya.

"Sebenarnya ia adalah rutin yang sama setiap hari - bangun, cari berita terkini dan membaca buku, makan... itu sahaja.

"Sekali-sekala saya akan memandang ke luar tingkap untuk melihat apa yang sedang berlaku, tetapi tidak ada sebarang aktiviti di sana," katanya ketika ditanya Bernama melalui aplikasi Messenger.

Yeo, 19, berkata hampir tidak ada sesiapa di luar asrama tempai dia tinggal kerana lebih 200 pelajar asing yang tidak ke mana-mana semasa cuti perayaan baru-baru ini diarah oleh pegawai universiti supaya tinggal dalam bilik asrama masing-masing.

Katanya, pegawai universiti akan datang untuk mengemas kini apa-apa maklumat tentang wabak koronavirus itu, manakala pekerja pula muncul untuk membersihkan kawasan awam di dalam dan di luar universiti.

Patut selesai Sept ini

Wuhan berada dalam perintah berkurung dengan orang ramai yang diarah untuk berada di dalam rumah saja, manakala semua sistem pengangkutan masuk dan keluar dihentikan sejak 22 Jan untuk menyekat penularan koronavirus.

“Untuk makanan dan minuman, kami perlu uruskan sendiri. Bagaimanapun, mereka membekalkan kami penutup hidung dan mulut,” kata lulusan sarjana muda geografi dan sains alam sekitar itu.

Ditanya sebanyak mana bekalan makanannya, Yeo berkata, apa yang ada cuma seperti susu dan mi segera yang cukup untuk 15 hari lagi, namum dia akan berhemah sementara menunggu bantuan tiba.

“Sebenarnya Kedutaan Malaysia cuba menghantar makanan dan bekalan lain kepada saya tetapi tak dapat kerana rangkaian pengangkutan disekat.

“Saya menerima khabar kerajaan mempunyai rancangan untuk memindahkan kami. Harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Yeo serta Balachandar dan keluarga adalah antara 78 warga Malaysia yang berada di Wuhan dan cuba dibawa pulang oleh kerajaan.

Yeo sentiasa menghubungi keluarganya bagi memberi maklum balas terkini mengenai keadaan di sana. Dia juga menghubungi Balachandar setiap hari melalui aplikasi WeChat.

“Dia bimbang sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk,” kata Yeo apabila ditanya tentang Balachandar, seorang pelajar peringkat PhD.

Balachandar bekerja di Sarawak sejak 2003 sebagai ahli geokimia dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan dijangka melengkapkan pengajiannya dalam geofizik pada Sept tahun ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata pegawai Malaysia telah berbincang dengan China mengenai pemindahan 78 warga yang kini berada di Wuhan, pusat wabak itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS