Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Washington umum darurat kesihatan awam, ambil langkah drastik
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 11:18 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Meskipun pentadbiran Donald Trump menegaskan risiko rakyat AS dijangkiti wabak koronavirus adalah rendah, namun Rumah Putih mengisytiharkan darurat kesihatan di negara itu hari ini selain mengambil langkah drastik menyekat kemasukan semua warga asing yang berkunjung ke China.

Mulai esok juga, warga AS yang pernah ke Hubei, China sepanjang tempoh dua minggu yang lalu diwajibkan dikuarantin selama 14 hari.

Hubei ialah pusat epidemik wabak yang kini dikesan di banyak negara di luar China.

Langkah diambil Washington itu diumumkan Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia AS, Alex Azar, dalam taklimatnya di Rumah Putih.

Ia dibuat sejurus sebelum Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan kes ketujuh wabak tersebut di AS yang direkodkan di California Utara.

Pesakit terbaru itu dikenal pasti seorang lelaki di Santa Clara County, selatan San Francisco, yang sakit selepas ke China dan dikuarantin di rumahnya.

Memetik kenyataan pengarah kesihatan awam untuk daerah itu, Sara Cody, Reuters melaporkan CDC sedang menyiasat untuk mengesan jika pesakit tersebut dijangkiti sewaktu dalam penerbangan pulang ke San Francisco.

Sukarela dikuarantin

Azar juga berkata selain melarang kemasukan pelancong asing yang berkunjung ke China dan mewajibkan kuarantin, semua penerbangan komersial dari China akan dihadkan hanya kepada tujuh lapangan terbang di AS.

“Tindakan yang kami ambil akan berterusan bagi mengukuhkan tindakan dilakukan China dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk membendung wabak itu,” kata Azar.

Pengarah CDC, Robert Redfield, pula memberitahu media bahawa kerajaaan bertindak sedemikian setelah WHO mengistyiharkan darurat global semalam.

“Saya ingin menekankan bahawa ini adalah situasi kesihatan yang serius di China namun risiko penyakit ini kepada orang awam di AS adalah rendah setakat ini,” katanya.

Redfield menambah matlamat pihak berkuasa mengambil langkah drastik itu adalah untuk menangani wabak tersebut dengan apa saja cara yang ada.

Hampir 200 rakyat Amerika dibawa pulang dari China sejak awal minggu ini dan mereka secara sukarela ditempatkan dalam pusat pengasingan sememtara di pangkalan tentera di California untuk proses saringan kesihatan selama 72 jam.

Mereka kemudian akan dikuarantinkan selama 14 hari mulai hari ini.

Tindakan CDC mengenakan kuarantin di California - yang pertama dikuatkuasakan oleh agensi itu dalam tempoh 50 tahun - hadir sehari selepas Jabatan Negara mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang kunjungan ke China akibat wabak koronavirus yang kini membunuh lebih daripada 200 nyawa manusia.

Setakat ini tiada kes kematian berkaitan koronavirus direkodkan di AS dan hampir semua kes positif yang dikesan, mendapat jangkitan semasa berkunjung ke China.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS