Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
117 penerbangan ke Sabah dari China digantung sementara
Diterbitkan:  Jan 31, 2020 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Sebanyak 117 penerbangan seminggu dari 15 bandar raya di China dan Taiwan terlibat dengan keputusan kerajaan negeri semalam untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari negara itu ke Sabah berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.

Jumlah itu tidak termasuk 10 penerbangan yang digantung sementara sebelum ini dari bandar raya Wuhan oleh syarikat penerbangan Air Asia (tujuh) dan Malindo Air (tiga) serta tujuh penerbangan dari Shanghai oleh Spring Airlines berikutan jangkitan 2019 novel koronavirus.

Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sunif Naiman berkata daripada 117 penerbangan itu, 53 penerbangan oleh Air Asia, China Southern Airlines (21), Malindo Air (17), Malaysia Airlines (sembilan), Xiamen Air (tujuh), Shanghai Airlines (tujuh) dan Loong Air (tiga).

Bermula hari ini, tiada penerbangan dari China ke KKIA, katanya kepada Bernama menerusi mesej di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Lima belas bandar raya tersebut ialah Hong Kong, Shenzhen, Shanghai, Guangzhou, Hangzhou, Fuzhou, Kunming, Chengdu, Tianjin, Wengzhou, Yiwu, Ningbo, Xian dan Xiamen serta Taiwan.

Sementara itu, menurut statistik Lembaga Pelancongan Sabah, pelancong dari China mencatat jumlah tertinggi pelancong antarabangsa melawat Sabah tahun lepas iaitu seramai 558,903 orang.

Menurut statistik berkenaan, pelancong ke Sabah pada tahun lepas berjumlah 3.76 juta orang iaitu 2.44 juta pelancong domestik dan 1.32 juta pelancong antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata keputusan kerajaan negeri menggantung sementara semua penerbangan dari China ke Sabah dibuat semasa mesyuarat kabinet pada Rabu lepas bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Katanya keputusan itu hanya penggantungan sementara dan operasi dijangka seperti biasa apabila keadaan kembali normal.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi menyatakan sembilan warganegara China masih diletakkan di bawah kategori suspek jangkitan (PUI) koronavirus di negeri ini.

Di Kuala Lumpur, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Tan Kok Liang berkata beliau memahami dan menghormati keputusan kerajaan Sabah untuk menggantung sementara penerbangan dari China.

"Keputusan untuk menggantung semua laluan penerbangan ke dan dari Sabah adalah satu langkah berani oleh kerajaan negeri dan suatu yang dirancang untuk melindungi mereka yang kini berada di Sabah termasuk pelancong.

"Kami berharap ini hanya akan menjadi langkah sementara dan penggantungan ini akan segera ditarik balik sebaik sahaja keadaan berkurangan dan perjalanan antara Sabah dan China akan kembali seperti biasa," katanya.

Menurut Tan, pendirian MATTA sepanjang krisis ini adalah konsisten bahawa persatuan sentiasa meletakkan kesihatan, perlindungan dan keselamatan sebagai keutamaan, baik rakyat Malaysia mahupun pelancong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS