Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis cekup 3 sekawan ketika leka bahagi hasil samun

Tiga rakan diberkas polis ketika sedang leka membahagikan hasil samun beberapa jam selepas mereka menyamun beberapa buah kedai serbaneka 24 jam di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Abduh Ismail berkata tangkapan berkenaan dilakukan pada pukul 6 pagi semalam oleh anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dibantu anggota Balai Polis Kluang dan unit MPV Kluang.

Katanya, kesemua mereka yang ditangkap dipercayai bergerak dalam kumpulan ketika melakukan tujuh kes kegiatan samun kedai serbaneka termasuk dua kes pada 28 Jan dan lima kes pada 30 Jan.

“Mereka ditahan di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak, Kluang ketika sedang membahagikan hasil samun mereka pada 30 Jan yang dilakukan sekitar pukul 4.22 hingga 5.40 pagi.

“Ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 18 hingga 22 tahun itu dipercayai melakukan aktiviti samun berkenaan untuk membeli dadah setelah masing-masing didapati positif bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kluang hari ini.

Jelas Mohd Abduh lagi, dua kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 125zr dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kepunyaan ibu kepada salah seorang suspek berkenaan turut dirampas semasa serbuan dilakukan.

Katanya, antara barangan lain yang dirampas adalah 129 kotak rokok pelbagai jenama; 10 keping sampul surat; lima keping kad pelbagai jenis; empat buah telefon bimbit; empat buah dompet; tiga helai resit kedai serbaneka; dua buah topi keledar; dua helai topeng mulut; dua buah peti wang tunai; sebuah tabung kebajikan; sehelai jaket; seutas jam tangan; sebilah pisau; sebuah beg hitam dan sebentuk cincin.

“Pihak polis juga turut percaya yang kumpulan ini baru ‘berjinak-jinak’ dengan kegiatan berkenaan apabila masing-masing tidak mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan kita juga turut sedang melakukan siasatan samada terdapatnya ahli lain dalam kumpulan ini atau sebaliknya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan mereka ini boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 5 Feb depan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS