Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perkauman, xenofobia tersebar lebih cepat dari koronavirus'
Diterbitkan:  Jan 31, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Pelbagai organisasi berita melaporkan bagaimana wabak koronavirus yang dipercayai dari Wuhan telah mencetuskan isu perkauman dan xenofobia di seluruh dunia.

Menurut New York Times, dengan tanda palang #ChineseDon'tComeToJapan (rakyat China jangan datang ke Jepun) telah menjadi trending di Twitter, manakala perniagaan di Korea Selatan dan Vietnam tidak menerima pelanggan daripada China.

Di Amerika Syarikat, pelajar Asia di Arizona State University (ASU) mengadu mereka dilayan dengan berbeza dan dipinggirkan.

Di Kanada, CBC News melaporkan bahawa Cina Kanada bimbang dengan tindak balas perkauman berikutan salah maklumat yang tersebar di atas talian mengenai virus berkenan. 

Di Singapura pula, puluhan ribu menandatangani petisyen menuntut kerajaan mengharamkan rakyat China daripada memasuki negara itu. 

Di Perancis, tajuk berita di dada akhbar terpampang: "Yellow Alert."

MarketWatch, dalam laporannya, menyebut bagaimana Malaysia juga menghadapi situasi yang sama dan memetik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyemai kebencian kaum.

The Guardian pula memaparkan seorang pelajar ijazah sarjana di Universiti Manchester, memberitahu isu perkauman yang dihadapinya berikutan wabak bekenaan.

"Minggu ini, keturunan saya telah menyebabkan saya berasa seperti sebahagian daripada wabak yang mengancam dan berpenyakit. 

"Dengan melihat saya sebagai seseorang yang membawa virus hanya kerana bangsa saya, ia adalah rasis," tulis Sam Phan, yang juga warganegara Britain.

"Sebagai seorang dari Asia Timur saya berasa tak selesa. Ketika dalam bas untuk pergi kerja minggu lepas, bila saya duduk, lelaki di sebelah saya cepat-cepat simpan barang dan berdiri untuk elak duduk di sebelah saya," tambahnya.

Dalam satu ruangan ulasan yang diterbitkan di CNN, Jeff Yang mengatakan reaksi seperti ini adalah sesuatu yang bahaya dan biasa kita lihat. Beliau juga menekankan isu perang perdagangan yang berterusan antara AS dan China.

Yang turut mengimbas masa lalu, di mana sebuah editorial di New York Daily Tribune pernah memberi amaran kepada kerajaan persekutuan untuk melarang masuk orang Cina ke Amerika Syarikat.

Menurutnya, ada yang sehingga berusaha mengurangkan bilangan kaum Cina di negara itu dengan mengumpulkan pihak berkuasa untuk membakar Chinatown dan membunuh penduduk di situ.

"Salah satu pembunuhan besar-besaran di China berlaku di bandar saya, di Los Angeles pada tahun 1871, apabila seramai lebih 500 orang menyerbu kawasan bandar lama Cina dan menyembelih dan menggantung 20 orang, merosakkan mayat mereka dalam insiden yang paling dahsyat dalam sejarah AS," katanya.

Hari ini, Yang berkata peningkatan perasaan permusuhan terhadap China didorong oleh perang perdagangan oleh Presiden Donald Trump dan apa yang dipaparkan dalam Twitternya.

Yang juga berkata seorang rakannya memberitahunya bagaimana sentimen yang serupa nampak lebih jelas di Jerman berikutan virus Wuhan.

Katanya kepada Yang, organisasi berita di Jerman memaparkan ulasan yang mencadangkan bahawa orang Asia "layak" menerima apa yang mereka dapat sekarang.

Dia juga memerhatikan bagaimana penumpang lain di dalam kereta api menutup mulut mereka atau menghindarkan diri daripadanya.

"Rasisme terhadap orang keturunan Asia tidak begitu jelas di Jerman, tetapi ia sering berlaku. Dengan wabak koronavirus baru-baru ini, ia menjadi lebih teruk …kita tersepit antara ditertawakan dan menjadi penerima," kata Yang memetik rakannya sebagai berkata.

Yang menyimpulkan artikelnya dengan nada amaran, bertajuk "Virus baru membangkitkan kebencian lama”.

“Koronavirus ini (wabak) baru. Tetapi penyakit xenophobia dan perkauman tidak. Dan seperti yang ditunjukkan oleh sejarah, wabak ini lebih teruk, dan jauh lebih bahaya, "katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menggesa rakyat Malaysia untuk berhenti melihat usaha Putrajaya menangani wabak koronavirus sebagai isu perkauman, menyifatkan ia hanya kebetulan bahawa wabak itu berasal dari China.

"Hari ini apabila kita nak menyelesaikan isu koronavirus pun tiba-tiba ada orang yang cuba memainkan soal kaum. Koronavirus kebetulan datang daripada China, sebelum ini kita ada ebola daripada Afrika, kita ada jangkitan-jangkitan lain daripada benua yang lain, dan kita tidak pernah timbulkan isu perkauman.

"Sebab itu saya berharap bahawa kita sebagai rakyat Malaysia boleh menghentikan isu perkauman ini, tetapi seperti saya jelaskan asalnya ialah daripada masalah politik perkauman yang kita harus hentikan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS