Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asyraf boleh berdialog isu THP, tapi bukan dengan saya - Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof tidak mempunyai masalah jika Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki ingin berdialog mendapatkan maklumat, khusunya mengenai penjualan aset Tabung Haji Plantation (THP).

Namun, kata Mujahid, beliau bukanlah orang yang tepat untuk menyertai dialog itu, memandangkan sebagai menteri, beliau telah menyerahkan tanggungjawab menguruskan anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH) itu kepada mereka yang profesional.

"THP ialah entiti perniagaan. Sebagai menteri, saya arahkan entiti perniagaan ini biarlah orang profesional yang jalankan.

"Saya tak ada campur tangan kalau dia nak dialog, (tapi) bukan dengan saya. [...]

"Dia (kena) berdialoglah dengan orang kendalikan perniagaan, kenapa saya?" soalnya ketika menjawab soalan pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Sekolah Rendah Agama Saidina Ali, Kuala Lumpur.

Semalam, Asyraf mengajak Mujahid berdialog bagi merungkai kebenaran berhubung isu yang melanda TH ketika ini termasuk penjualan aset THP.

Untuk rekod, Asyraf pada 24 Januari juga pernah mempersoalkan penjualan aset THP berupa 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak.

Mujahid juga bukan pertama kali menjawab isu itu, apabila pada 25 Januari menjelaskan tentang penjualan sebahagian daripada ladang kelapa sawit milik THP kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd pada harga RM170 juta.

Katanya, sepanjang menjadi menteri, agensi di bawahnya diberi kepercayaan penuh menjalankan urusan tanpa campur tangan politik.

Dia juga menzahirkan keyakinan tinggi bahawa pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat itu daripada terus mengalami kerugian.

Mengulas lanjut, kata Mujahid, memandangkan Asyraf kini di pihak pembangkang, beliau faham keinginan Asyraf untuk berdialog kerana mungkin bekas timbalan menteri itu "tidak tahu cerita" tentang urusan perniagaan TH dan anak syarikatnya sekarang.

Namun, Mujahid mempunyai sebab tersendiri untuk memastikan dialog yang mahu diadakan Asyraf tidak hanya menjadi dialog antara "orang politik" semata-mata.

"Dia orang politik, saya orang politik. [...]

"Bila berlaku dialog politik, dia akan jadi cerita lain, dan akan menimbulkan lagi kebimbangan (pendeposit)," katanya.

Tambahnya, sebagai menteri, dia perlu lebih memikirkan kepentingan kira-kira 9.4 juta pendeposit dengan nilai tabungan lebih RM70 bilion dalam TH.

Justeru, sekiranya Asyraf jujur mahu berdialog tentang TH dan THP, Mujahid berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengatur pertemuan tersebut antara Asyraf dengan golongan pakar dan profesional yang terlibat langsung dalam urusan perniagaan.

"Lepas tu di luar dia nak cakap apa itu masalah dialah.

"Saya pun faham dia ketua pemuda, saya pun faham dia nak tunjuk kata dia bersuara.

Saya pun orang politik," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS