Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aset rizab rasmi BNM AS$103.61 bilion pada Disember
Diterbitkan:  Jan 31, 2020 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) pada akhir Disember 2019 berjumlah AS$103.61 bilion (AS$1=RM4.08) manakala aset mata wang asing lain adalah sebanyak AS$415.1 juta.

Menurut kenyataan bank pusat itu, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing adalah AS$4.19 bilion.

Ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing, demikian menurut kenyataan 'Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa Pada Akhir Disember 2019' yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$13.683.3 bilion pada akhir bulan Disember 2019 yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

"Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2.65 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang," kata bank pusat itu.

Menurut BNM, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$336.6 juta.

Selain itu, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS