Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mujahid beri amaran pada kakitangan jangan sebar berita palsu koronavirus

Ekoran penyebaran berita palsu berhubung wabak koronavirus, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof memberi amaran kepada kakitangan di bawah kementeriannya tidak terlibat dalam perkara itu.

Menzahirkan kekecewaan apabila wabak itu dikaitkan dengan isu politik secara semborono melalui berita palsu, beliau menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memerhatikan jika ada kakitangannya yang melakukan kesalahan seumpamanya.

"Isu koronavirus tak ada kena mengena dengan politik, ini soal keselamatan negara dari segi serangan virus yang global. Pun main juga isu politik.

"Dengan berita palsunya, maki hamun kerajaan. Ini tak patut. Saya dah beritahu kalau ada daripada kalangan pegawai atau anggota di bawah kami (kementerian) yang main berita palsu untuk mencetuskan benda-benda yang tak betul, jaga!

"Selain daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya juga memantau. Saya ada mata. Semua saya tengok," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Sekolah Rendah Agama Saidina Ali, Kuala Lumpur.

Wabak koronavirus hari ini diisytihar sebagai kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila ia sudah merebak ke 18 negara.

Wabak koronavirus setakat ini mencatatkan 9,692 kes di China, dengan 213 kematian.

Di Malaysia, setakat ini, lapan kes positif koronavirus disahkan, manakala 124 kes positif lain dicatatkan di seluruh dunia, selain China dan Malaysia.

Baru-baru ini, polis dan SKMM menjalankan operasi berasingan bagi menyiasat beberapa pihak yang disyaki menyebarkan khabar angin dan berita palsu berhubung penularan wabak novel koronavirus.

Antaranya, ia melibatkan penahanan beberapa individu untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran berita palsu melalui kumpulan sembang WhatsApp serta akaun media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Bergantung pada siasatan, suspek boleh didakwa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka turut boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS