mk-logo
Berita
Koronavirus: TV India lapor orang mati di M'sia berita palsu - KP Kesihatan
Diterbitkan:  Jan 30, 2020 10:27 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menolak laporan yang dibawa oleh media di India mengatakan seorang warga India telah meninggal dunia akibat koronavirus novel di Malaysia

"Berita palsu. Tiada siapa yang mati akibat koronavirus di Malaysia," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan yang dikeluarkan oleh NDTV India menyebut seorang lelaki berusia 23 tahun dari Tripura meninggal dunia di sebuah hospital di Malaysia selepas jangkitan virus baru jenis koronavirus itu.

Menurut laporan palsu yang diedarkan oleh Asian News International (ANI), sebuah agensi berita India yang berpusat di New Delhi, Manir Hossain, warga India berusia 23 tahun meninggal dunia akibat virus itu.

ANI memetik datuknya Abdul Rahim sebagai berkata dia menerima berita kematian cucunya daripada pihak berkuasa Malaysia pada pagi Rabu.

Seperti yang disahkan oleh Dr Noor Hisham, ini adalah berita palsu.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa seorang kerani bank berusia 28 tahun telah ditangkap di Kuantan petang tadi kerana suatu hantaran di Facebook yang menyebarkan berita palsu wabak virus Wuhan.

Sejak tiga hari lalu, enam orang telah ditangkap kerana kesalahan ini.

Menurut SKMM, telefon bimbit dan kad SIM suspek juga dirampas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS