Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga asing terkandas di Wuhan tagih bantuan
Diterbitkan:  Jan 30, 2020 7:13 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Ketika kerajaan negara-negara tertentu mula sibuk membawa pulang ribuan rakyat mereka yang terkandas di Wuhan, akibat perintah berkurung susulan koronavirus, ramai lagi warga asing negara kecil kecewa kerana mereka seolah-olah tidak dipedulikan.

AFP melaporkan ratusan warga Jepun, Singapura, Perancis, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara kuasa besar lain dibawa pulang kerajaan masing-masing manakala warga negara yang kecil atau kurang pengaruh diplomatik terpaksa berserah kepada takdir.

Antara mereka adalah warga Thailand, Aphinya Thasripech, 32, yang terkilan kerana tiada sesiapa ambil peduli mengenai kebajikannya.

“Saya mungkin kebuluran atau terkena jangkitan dan mati,” kata pekerja kilang yang kini mengandung dua bulan.

Setakat ini, lebih 170 orang terkorban akibat virus terbabit, yang turut menjangkiti lebih 7,700 orang di serata dunia, kebanyakannya di China.

Malaysia hari ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti perkara-perkara berkenaan keperluan membawa balik rakyat negara ini yang masih terperangkap di Wuhan, China.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, jawatankuasa yang diselaraskan oleh agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu akan turut melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia.

Selain itu, katanya, agensi lain akan turut dilibatkan termasuklah Majlis Keselamatan Negara dan pasukan tentera.

Sebanyak 78 warganegara Malaysia dilaporkan berada di Wuhan, tempat asal-usul penyebaran wabak novel koronavirus itu.

Setakat ini, tiada antara mereka yang dilaporkan dijangkiti wabak tersebut.

Selain Aphinya, AFP melaporkan pelajar perubatan warga Thailand, Badeephak Kaosala, terpaksa mengunci diri dalam biliknya dengan bekalan air dan makanan yang semakin berkurangan.

Beliau kecewa melihat negara lain membawa pulang rakyat mereka tetapi tiada khabar daripada kerajaan Thailand.

Warga Pakistan, Ruqia Shaikh, 33, yang terperangkap berikutan perintah berkurung kerana sedang melawat rakannya ketika ia diisytiharkan, berkata kekecewaan dan rasa panik semakin memuncak.

Pihak berkuasa di Islamabad, Pakistan, berkata ada sekitar 500 pelajar negara itu di Wuhan dan setakat ini, empat disahkan dijangkiti coronavirus.

“Mereka yang berkeluarga terdesak untuk keluar tetapi ada pelajar lebih rela berada di Wuhan daripada kembali ke Pakistan di mana kemudahan perubatan tidak begitu baik.

“Negara kami tidak berupaya merawat coronavirus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS