Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta antiberita palsu: Boleh fikir semula - Muhyiddin

Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan boleh difikirkan semula bagi menangani penyebaran berita palsu di negara ini.

Bagaimanapun kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, undang-undang lain yang ada kini boleh digunakan bagi menangani isu berkenaan.

"Ya, soal tidak ada undang-undang Akta Antiberita itu satu isu yang boleh kita (kerajaan) fikirkan semula.

"Perkara itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk menelitinya dan diputuskan nanti," katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said yang mengkritik kerajaan Pakatan Harapan kerana memansuhkan akta antiberita tidak benar memandangkan situasi penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus dalam sosial media.

Dewan Rakyat pada 29 Okt tahun lalu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan yang dahulu.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Rang Undang-undang itu diluluskan selepas dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof selepas melalui proses undi belah bahagi dengan majoriti lebih ramai yang bersetuju iaitu 92 ahli parlimen berbanding 51 yang tidak bersetuju.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata kerajaan PH komited untuk memansuhkan akta tersebut kerana tidak mahu ada pihak menjadi mangsa kezaliman akta tersebut.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan menggunakan undang-undang lain yang ada bagi mengekang penyebaran berita palsu.

"Seperti saya sebut tadi Kanun Keseksaan, yang mana polis boleh mengambil tindakan dan keduanya sudah pasti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jadi seperti saya sebut tadi tindakan pun sudah diambil berdasarkan apa yang terjadi," katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sehingga semalam seramai tujuh orang telah ditangkap dalam kesalahan melibatkan menyebarkan berita tidak benar mengenai kes Koronavirus di negara ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang bertujuan untuk menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS