Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM300,000 hangus, melabur dalam projek balak tak wujud
Diterbitkan:  Jan 30, 2020 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Seorang warga emas mendakwa kerugian RM310,000 yang diberikan kepada individu berpangkat ‘Datuk’ bagi menyertai pelaburan projek pembalakan di Kuala Lipis dekat Kuantan, sejak Oktober lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 70 mendakwa rakannya memperkenalkan ‘Datuk’ berkenaan yang kononnya sedang ‘mencari dana’ bagi memulakan projek berkenaan.

Mangsa mendakwa telah bertemu dengan suspek di sebuah restoran di Lanchang, Temerloh di sini untuk berbincang termasuk menunjukkan tapak yang dikatakan lokasi projek bagi menyakinkan mangsa untuk melabur.

“Sejak pertemuan itu, suspek dikatakan menghubungi mangsa hampir setiap hari untuk memujuk dirinya melabur sehingga dia akhirnya menyerahkan wang secara tunai sebanyak RM150,000 di sebuah restoran di Bentong sebagai tanda setuju.

“Mangsa kemudiannya membuat beberapa lagi transaksi wang kepada suspek bagi bayaran proses kepada permohonan untuk mendapatkan projek itu yang akhirnya berjumlah RM310,000,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa juga mendakwa pernah dibawa suspek untuk melawat tapak yang dikatakan projek pembalakan itu sekitar November lepas, yang menyebabkan dirinya yakin dengan kewujudan projek itu sehingga sanggup menyerahkan wang yang banyak.

Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar apabila mangsa membuat pemeriksaan di Pejabat Hutan Bentong yang mengesahkan surat yang diterimanya daripada suspek adalah palsu.

“Sebaik menyedari perkara itu, mangsa bergegas ke rumah suspek di Lanchang untuk membatalkan kerjasama dalam projek itu dan mahu kembali wangnya yang telah diberikan.

“Mangsa mendakwa suspek bukan hanya tidak memberikan kerjasama namun turut bertindak kurang ajar dan menghantar mesej berbaur ancaman menyebabkan dia membuat laporan polis semalam,” katanya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS