Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bagi masyarakat Melayu di negeri Johor, ‘lontong kering’ merupakan juadah yang agak popular dan sering menjadi pilihan warga setempat sebagai juadah pagi sebelum mereka memulakan aktiviti seharian.

Kebiasaannya, umum mengetahui lontong sebagai hidangan yang dimakan dengan lauk masak lodeh tetapi di selatan tanah air, lontong lebih digemari dimakan kering tanpa kuah bersama lauk-pauk pilihan seperti rendang ayam dan daging, serunding serta sayur-sayuran seperti kacang panjang, tauhu dan tempe.

Bertitik tolak daripada itu, Suria Hassan, pengusaha kedai makan di Simpang Tiga, Kampung Sri Pantai, dekat Mersing, mengkomersialkan lontong kering sebagai ‘lontong darat’ sejak dua tahun lepas, dan usahanya itu membuahkan hasil sehingga tidak menang tangan menerima kunjungan pelawat setelah tular di laman sosial.

Beliau juga bertuah kerana restorannya turut dikunjungi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memilih lontong darat bersama rendang daging dan roti canai.

"Pelbagai menu pilihan digandingkan dengan nasi impit, sambal kacang dan sayur jawa seperti serunding, rendang ayam dan daging serta sambal paru, pastinya memberi kelainan kepada pengunjung terutama yang berasal dari luar Johor," katanya ketika ditemui Bernama di Mersing, baru-baru ini.

Suria, 31, yang berasal dari Pasir Gudang, mengambil alih perniagaan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu oleh ibu dan arwah ayah mentuanya iaitu Salmah Ahmad dan Abdul Rahman Sharol selepas berkahwin kira-kira 10 tahun lepas.

Untuk memajukan lagi restorannya, Cik Tik Corner, ibu kepada dua cahaya mata itu giat mempromosikan perniagaannya melalui media sosial seperti Facebook, serta menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi warga Mersing secara cash on delivery dan pelbagai tarikan lain.

"Kami juga ada menawarkan sarapan percuma kepada wanita hamil pada setiap hari Khamis dan mereka yang menyambut hari lahir, hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sahaja.

Suria juga merancang untuk membuka cawangan di daerah lain berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Justeru saya amat berharap dapat bantuan kewangan ataupun peralatan termasuk rak menyimpan lauk-pauk supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan dan menarik lebih ramai pengunjung ke Mersing terutama sempena Tahun Melawat Malaysia/Tahun Melawat Johor 2020," katanya.

Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, restorannya juga menyajikan pelbagai menu seperti roti canai, nasi lemak, nasi goreng, soto, mee dan juga kuih-muih.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS