Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AirAsia lanjutkan penggantungan penerbangan Wuhan hingga 29 Feb
Diterbitkan:  Jan 28, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Penggantungan penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China akan dilanjutkan sehingga 29 Feb.

Syarikat penerbangan itu juga membuat peruntukan untuk tetamu dengan tempahan penerbangan dari dan ke semua destinasi di tanah besar China untuk mendapatkan akaun kredit atau bayaran balik sepenuhnya.

"Destinasi-destinasi tertentu dalam rangkaian penerbangan AirAsia telah mengenakan larangan perjalanan untuk tetamu berdasarkan kewarganegaraan, kota asal, sejarah perjalanan atau tujuan perjalanan.

"Tetamu disarankan untuk memeriksa dengan kerajaan atau pejabat kedutaan masing-masing sebelum melakukan perjalanan," kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika angka kematian akibat koronavirus yang berasal dari Wuhan mencecah 106.

AirAsia berkata pelanggan boleh memilih untuk mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kesetiaan AirAsia mereka untuk perjalanan masa depan untuk ditebus bagi tempahan dalam tempoh 90 hari dari tarikh pengeluaran, atau bayaran balik sepenuhnya.

Ia terpakai bagi semua penerbangan menuju dan dari tanah besar China sehingga 15 Feb (atau 29 Feb untuk penerbangan menuju dan dari Wuhan sahaja) yang dikeluarkan sebelum 28 Jan.

AirAsia berkata ia sedang memantau dengan teliti keadaan semasa dan mempunyai hak untuk mengumumkan dasar lanjut mengikut perkembangan terkini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS