Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menulis surat kepada pihak yang berkenaan agar menghentikan larangan kepada pengunjung yang mahu melawat sesuatu lokasi tumpuan pelancong.
Menterinya, Mohamaddin Ketapi, berkata larangan tersebut adalah tidak bagus dan salah sama sekali.
"Orang yang dah masuk ke negara ini adalah yang sihat dan kita akan (tulis) surat kepada pusat-pusat pelancongan ini," katanya.
Menurut beliau pihak yang berkenaan diminta memberikan kerjasama untuk tidak menghalang mana-mana pelancong yang berhajat mengunjungi tempat yang menarik minat mereka.
"Tolong jangan halang pelancong untuk melawat tempat yang perlu dan yang nak dilawati oleh pelancong-pelancong ini.
"Ini tak bagus, ini salah sama sekali. Kita nak halang orang melawat dalam negara kita, apa semua ini?" soalnya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas dan taklimat bersama kementeriannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia, di Putrajaya, hari ini.
Mohamaddin berkata demikian sebagai mengulas langkah pentadbiran Masjid Putra di Putrajaya yang menutup rumah ibadat itu kepada pengunjung bukan Islam.
Sasaran tak berubah
Langkah itu bermula sejak 26 Jan lalu ekoran kebimbangan terhadap penularan virus Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).
Jurucakapnya dilaporkan berkata, penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. Buat masa ini masjid tersebut hanya dibuka kepada pengunjung beragama Islam yang datang untuk menunaikan solat.
"Pelawat bukan Islam masih boleh mengambil gambar, tetapi sehingga hadapan pintu gerbang masjid sahaja (sebelum pos kawalan masjid)," katanya.
Sementara itu, mengulas langkah kerajaan menggantung visa kepada pelancong dari wilayah Hubei dan kawasan terjejas wabak koronavirus, Mohamaddin berkata, tindakan berkenaan langsung tidak menjejaskan sasaran yang ditetapkan kementeriannya.
Sebaliknya Mohamaddin berkata, kementerian itu tetap positif akan mencapai sasaran tersebut.
"Kita masih kekalkan sasaran 30 juta pelancong dan RM100 bilion pendapatan dapat dicapai.
"Kita ada pelancong (lain) dari Australia, England dan seluruh dunia," katanya.
Mohamaddin berkata, keyakinannya itu berdasarkan keupayaan Malaysia menangani setiap bencana yang melanda negara.
"Malaysia mempunyai pengalaman yang cukup dalam mengendalikan kes ini dan saya masih lagi bersemangat tinggi, agenda nasional akan diteruskan dan kita harap kita akan berjaya," katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan langkah penggantungan kemudahan imigresen kepada penduduk Hubei dan bandar Wuhan serta sekitarnya.
Kemudahan imigresen berkenaan termasuklah eNTRY (kemudahan masuk tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.