mk-logo
Berita
Umno bimbang perayu haji tak bayar penuh didiskriminasi
Diterbitkan:  Jan 28, 2020 2:07 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Umno menyatakan kebimbangan terhadap peluang perayu haji yang tidak membayar kos penuh bagi menunaikan ibadat itu.

"Apa jaminan perayu yang menandakan tidak bersetuju untuk membayar penuh kos RM22,900 akan menerima pertimbangan yang adil?

“Apakah akan wujud diskriminasi terhadap layanan jemaah haji muassasah yang membayar penuh dengan yang bayar kos bersubsidi?" soal ketua pemudanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan isu “borang baru” rayuan haji yang didakwanya mengelirukan orang ramai, tahun ini.

"Dalam borang tersebut, perayu dikehendaki menandakan di satu bahagian sama ada mereka bersetuju untuk membayar penuh kos Haji RM22,900 atau pun tidak.

"Dalam siaran pemaklumanannya, pihak Tabung Haji (TH) menyatakan terserah kepada pihak perayu untuk membayar penuh secara sukarela.

"Dengan bahasa mudah, terserah siapa yang nak bayar penuh RM22,900 atau nak bayar kos bersubsidi RM9,980.

“Mana-mana orang yang rasional sudah tentu akan pilih hendak bayar RM9,980 berbanding RM22,900," tegasnya.

Sehubungan itu Asyraf yang juga bekas timbalan menteri hal ehwal agama berkata wujud beberapa persoalan berkait isu tersebut yang memerlukan penjelasan khususnya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

"Persoalannya, apakah rasionalnya diwujudkan bahagian untuk ditandakan persetujuan untuk perayu membayar kos penuh RM22,900?

Beliau turut mempersoalkan kemungkinan perkara itu diwujudkan susulan pertemuan dengan mufti-mufti pada Jumaat lalu untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan TH mengenakan caj penuh kepada perayu atas hujah istito’ah (kemampuan).

"Apakah ini satu kaedah u-turn (pusingan U) setelah mendapat bantahan rakyat tatkala menteri pada awalnya mengumumkan untuk mengurangkan subsidi haji?

"Mohon kali ini Dr Mujahid dapat tampil memberikan pencerahan sebagaimana beliau tampil mengumumkan kejayaan kenaikan kuota rasmi haji tempoh hari," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Mujahid dan Tabung Haji berhubung isu itu.

Sementara itu, dalam makluman di Facebook, TH berkata pilihan kepada jemaah muassasah untuk membayar penuh telah dilaksanakan sejak tahun-tahun sebelum ini.

Kenyataan bagaimanapun itu tidak mengulas secara langsung berkaitan kebimbangan berlakunya diskriminasi susulan pilihan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS