Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM kenal pasti 26 hospital kendali kes disyaki koronavirus
Diterbitkan:  Jan 27, 2020 9:01 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak 26 hospital di seluruh negara bagi mengendalikan kes disyaki jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA JB) sebagai contoh merupakan hospital rujukan bagi kes yang disyaki dan disahkan positif koronavirus bagi negeri Johor.

“Bagi memastikan penggunaan fasiliti KKM sedia ada yang optimum, kes-kes yang disyaki atau disahkan positif 2019-nCoV dan berada dalam keadaan stabil akan dirawat dan dipantau oleh Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit HSA JB di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru.

“Hospital Permai mempunyai kemudahan fasiliti yang amat baik serta dikawal rapi oleh polis bantuan bagi memastikan tiada pencerobohan oleh mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

"Namun sekiranya terdapat kes-kes yang kritikal dan memerlukan rawatan dan pemantauan rapi, satu wad isolasi khas telah pun dikenal pasti untuk digunakan di HSA JB,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Beliau berkata tatacara pengendalian kes-kes disyaki koronavirus yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah pun dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan.

Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada kesemua petugas kesihatan terutamanya di lapangan yang sedang bertungkus-lumus memastikan kejadian kluster jangkitan koronavirus dapat dikawal.

“Terima kasih juga kepada semua pihak termasuk pihak swasta yang telah memberikan kerjasama yang baik demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam rakyat terpelihara,” katanya.

Angka kematian akibat koronovirus yang berasal dari bandar Wuhan, China sehingga kini merekodkan 80 kematian, manakala kes yang disahkan positif pula meningkat kepada 2,744 orang.

Untuk rekod KKM mengesahkan terdapat empat kes positif koronavirus di Malaysia, kesemuanya melibatkan warga China di Johor.

Selain itu, empat individu lagi - dua warga tempatan dan dua warga China - dimasukkan ke wad isolasi dengan keputusan makmal akan diketahui dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS