Kerajaan Malaysia mengumumkan keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan terkini berkata semua kemudahan imigresen itu merangkamui eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei dan ia berkuatkuasa serta merta.
"Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.
"Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak Kerajaan China," kata kenyataan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri berkata sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China minggu lepas, Malaysia mengikut prosedur-prosedur ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Selain itu katanya, kerajaan juga telah mendapat nasihat pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini daripada merebak dengan meluas.
"Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan," katanya.
Sebagai rekod setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat kes positif koronavirus yang telah disahkan di Malaysia, kesemuanya melibatkan warga China di Johor.
Selain itu, empat individu lagi - dua warga tempatan dan dua warga China - dimasukkan ke wad isolasi dengan keputusan makmal akan diketahui dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, kerajaan juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.