Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 100,000 bayi, kanak-kanak di Sabah diberi vaksin polio
Diterbitkan:  Jan 27, 2020 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Sejumlah 109,232 kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah di Sabah telah diberi vaksin dalam bulan pertama Kempen Imunisasi Polio Sabah yang bertujuan menangani virus itu yang mula dikesan di negeri itu Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu merupakan 27.93 peratus dariada anggaran 391,040 kanak-kanak bawah lima tahun di 25 daerah di Sabah.

Beliau berkata, kanak-kanak ini dikenal pasti berdasarkan Supplementary immunisation activity (SIA) - dilancarkan 27 Disember lalu - diberi dos pertama vaksin secara titisan di mulut.

"SIA ini merupakan fasa kedua aktiviti tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio di Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pelaksanaan SIA di beberapa daerah amat mencabar dari segi logistik dan keselamatan kakitangan, justeru mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat.

"Mereka perlu menaiki bot atau perahu, meredah air serta berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kampung yang dituju," katanya lagi.

SIA dilancarkan selepas seorang bayi berusia lapan bulan di Tuaran, Sabah dilaporkan dijangkiti virus polio. Ia merupakan kes pertama selepas 27 tahun negara bebas daripada penyakit itu.

Kes itu dikaitkan dengan meletusnya polio di selatan Filipina. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Unicef kemudian mengesahkan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS