Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Apa saya kata dua tahun lalu' - TMJ ulas koronavirus
Diterbitkan:  Jan 26, 2020 10:43 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:54 AM

Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim membuat beberapa hantaran di media sosial yang kelihatan seakan mengkritik cara Putrajaya menangani isu koronavirus di Malaysia.

Hantaran pertama memberi maklum balas terhadap pengguna Twitter yang mengadu mengenai perdana menteri tidak cekap dan menggesa Tunku Ismail untuk beruat sesuatu.

"Apa yang saya kata dua tahun lalu? Satu demi satu isu. Ekonomi, agama, ketegangan kaum, dasar yang tidak stabil dan tidak konsisten, kos sara hidup meningkat dan sekarang penjagaan kesihatan.

"Dulu apabila bersuara, digesa oleh rakyat jangan masuk campur hal pentadbiran kerajaan dan politik. Sekarang?" Titah baginda pada ciapan di Twitter.

Pada kicauan keduanya di Twitter, Tunku Ismail menggesa kerajaan mendengar suara rakyat dan tidak menunggu sehingga keadaan bertambah buruk.

"Tak akan nak tunggu kritikal baru nak bertindak. Paling kurang tolonglah buat satu perkara yang betul. Hanya satu. Dengar suara Rakyat," titah baginda.

Pada hantaran baginda di Facebook pula Tunku Ismail bertitah akan melakukan apa saja yang termampu demi rakyat.

"Demi anda semua, saya, Ismail Ibrahim akan lakukan apa sahaja yang saya mampu untuk anda dan keluarga anda semua kerana itu adalah sumpah saya ketika saya ditabalkan menjadi Tunku Mahkota Johor (di Istana Besar Johor Bahru pada 12 Safar 1431H).

"Kepada Allah Kami Berserah. Semoga Allah SWT berkati kita semua," titah baginda yang menjelaskan akan berbuat demikian kerana ramai pihak yang memintanya bersuara dan melakukan sesuatu berkenaan isu virus Wuhan itu.

Tunku mahkota juga mengingatkan walaupun sanggup dicaci dan dimaki untuk membela rakyat, namun "dua tahun lalu" baginda "telah disuruh berdiam diri."

"Ramai yang meminta saya untuk bersuara dan melakukan sesuatu berkenaan isu virus dari China yang sedang merebak di negara kita.

"Dua tahun yang lalu saya telah memberi pandangan saya tetapi telah dinasihatkan oleh rakyat supaya tidak masuk campur. Ketika itu rakyat yang saya bela sendiri menyarankan agar untuk saya berdiam dan tidak masuk campur urusan politik dan kerajaan.

"Saya sanggup dicaci, dimaki untuk membela kedaulatan negeri Johor dan rakyat seluruh negara.

"Dan hari ini apabila negara dilanda pelbagai krisis, anda semua menyeru kepada saya untuk melakukan sesuatu. Hari ini saya berharap anda semua sedar iaitu apa yang saya jangkakan pada dua tahun lalu telah terjadi pada hari ini," titah baginda lagi.

Bagaimanapun, tidak jelas apa yang dimaksudkan baginda dengan "dua tahun lalu" itu.

Sebelum pilihan raya umum 2018, Tunku Ismail pernah bertitah seolah tidak menyokong perubahan kerajaan dan mengeluarkan kenyataan yang dilihat menentang Dr Mahathir Mohamad.

Selepas PRU14, baginda juga bergeser dengan Putrajaya apabila pentadbiran itu bercakap menentang langkah Johor untuk menukar status Pulau Kukup daripada taman negara ke tanah kesultanan.

Tunku Ismail juga merupakan pengkritik rancangan kerajaan untuk memeterai Statut Rom yang mengesahkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dengan mengatakan langkah tersebut akan menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Teguran terbaru baginda tercetus di tengah-tengah kritikan orang ramai mengenai keputusan kerajaan untuk tidak menyekat pelancong China daripada masuk ke negara ini di tengah-tengah penularan wabak koronavirus di Wuhan.

Petisyen dalam talian mendesak kerajaan untuk menghalang pelancong China telah mengumpul lebih 300,000 penyokong.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan sekatan itu tidak perlu kerana Beijing telah membuat 'penutupan' di kawasan yang terjejas.

Beliau juga memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengatakan bahawa virus itu belum lagi menjadi darurat kesihatan awam.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS