Taiwan mengetatkan sekatan terhadap kemasukan pelawat dari China untuk mencegah penyebaran wabak koronavirus.
Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada pelancong perniagaan dan individu yang berkahwin dengan rakyat Taiwan, lapor Reuters.
Taiwan mempunyai hubungan ekonomi dan budaya yang rapat dengan China dan setakat ini melaporkan tiga kes koronavirus baru, yang bermula di bandar Wuhan di wilayah Hubei.
Setakat ini wabak itu telah mencatatkan 56 kematian di China.
Taiwan sebelum ini telah pun mengeluarkan larangan terhadap pelancong dari China dan kini mengharamkan individu dari Hubei daripada memasuki pulau itu.
Kebanyakan warga China yang lain tidak akan dibenarkan memasuki Taiwan buat masa ini, selain mereka yang terlibat dalam memerangi virus berkenaan atau atas dasar kemanusiaan, kata Pusat Arahan Epidemik Berpusat yang baru ditubuhkan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun pelancong perniagaan China dibenarkan masuk ke negara itu, dengan harus menjalani pemeriksaan kesihatan selama dua minggu selepas kemasukan mereka, kata pusat arahan itu.
Pasangan dari Hubei juga perlu dikuarantin di rumah untuk tempoh yang sama, katanya.
Pelajar Cina yang belajar di Taiwan juga diminta menangguhkan hasrat kembali ke pulau itu selama dua minggu, manakala pelajar dari Hubei tidak dibenarkan kembali sama sekali sehingga notis lanjut dikeluarkan.