Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkuiri Suhakam terhadap kehilangan Joshua, isteri bermula 18 Feb
Diterbitkan:  Jan 26, 2020 2:10 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Inkuiri awam terhadap kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy akan bermula 18 Februari.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melalui satu kenyataan hari ini, berkata inkuiri itu bagi membantu pihak berkuasa dalam penyiasatan mereka terhadap kehilangan pasangan berkenaan.

“Selaras dengan mandat dan kuasanya, Suhakam akan menjalankan siasatan awam ke atas kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya, Hishamuddin Yunus dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Dr Madeline Berma.

“Sesi pendengaran akan bermula dari 18 Februari di Bilik Inkuiri, Aras 13, Suhakam,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Suhakam menyeru mereka yang mempunyai maklumat penting untuk hadir memberikan keterangan, bermula hari ini hingga 14 Februari nanti.

“Melalui siasatan ini, Suhakam akan menyiasat sepenuhnya apa yang telah terjadi dengan sebaik mungkin bagi mengenal pasti dan membuat syor-syor kepada pihak-pihak yang berkenaan.”

Tidak banyak yang diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat adalah pada 30 November 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Begitu juga dengan maklumat tentang penyiasatan polis terhadap kehilangan mereka.

Menurut keluarga Ruth dari Indonesia, Ruth datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai seorang tukang jahit ketika dia bertemu Joshua. 

Pasangan itu berkahwin pada 2004.

Ruth merupakan seorang Kristian manakala Joshua menganut Kristian selepas keluar dari agama Islam.

Sejak itu, keluarga Ruth secara terbuka meminta presiden Indonesia Joko Widodo mengenakan tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk mencari Ruth. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS