Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu sokong kaji hukuman lebih tegas memandu mabuk
Diterbitkan:  Jan 25, 2020 5:29 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Pemuda Bersatu (Armada) menyokong rancangan Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula undang-undang mengenai kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu itu bukan berkaitan agama atau bangsa, tetapi soal keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

"Kesalahan anda (memandu dalam keadaan mabuk) boleh menyebabkan kematian. Nyawa yang tak bersalah hilang kerana kesilapan bodoh seperti ini," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata undang-undang mengenai kesalahan memandu dalam keadaan mabuk akan dikaji semula dan dibangkitkan dalam kabinet minggu depan.

Ia susulan kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk awal hari itu, yang membunuh seorang penunggang motosikal dan mencederakan dua yang lain.

Pada masa ini memandu mabuk boleh dihukum mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan, yang membawa hukuman penjara antara tiga hingga sepuluh tahun, dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

Individu yang dalam keadaan mabuk yang tidak memandu namun berada di tempat duduk pemandu kenderaan juga boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 45 Akta yang sama, dengan denda sehingga RM1,000 dan sehingga penjara tiga bulan untuk kesalahan pertama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS