Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kes jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) yang pertama di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa tiga pesakit itu mempunyai kaitan dengan bapa dan anak dari Wuhan, China, yang telah disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

"Tiga kes positif adalah isteri lelaki berusia 66 tahun yang diuji positif di Singapura pada 22 Jan, dan dua cucu mereka berumur 11 dan 2 tahun.

"Mereka melancong dalam kumpulan 10 orang dari Wuhan, sebelum kedua-dua lelaki itu ditahan dan diuji positif di Singapura.

"Berikutan itu, lapan orang yang tidak menunjukan sebarang gejala telah dibebaskan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) dan mereka datang ke Johor Bahru pada 23 Jan.

"Kami dimaklumkan oleh KKS dan segera menempatkan lapan individu itu, dan mengasingkan mereka untuk pemeriksaan," kata Dzulkefly kepada media.

Menurutnya, keputusan ujian lapan individu itu diperoleh lewat malam tadi, dan pihak berkuasa kesihatan telah membawa dua kanak-kanak itu dan nenek mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk dimasukkan ke wad pengasingan.

Ibu kanak-kanak itu, yang berumur 36 tahun, telah disahkan positif tetapi turut dibawa ke hospital untuk menjaga anak-anaknya di bawah pengawasan ketat.

Dzulkefly berkata empat pelancong lain yang ujian mereka negatif adalah pasangan suami isteri dan dua anak mereka. Mereka telah meninggalkan negara ini pagi tadi untuk kembali ke China.

Sementara itu, ditanya sama ada KKM mempunyai data mengenai bilangan pelawat dari Wuhan yang berada di Malaysia atau jumlah individu yang telah melawat ibu kota wilayah Hubei itu baru-baru ini, menteri itu berkata mereka perlu berhubung dengan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata mereka bagaimanapun mempunyai data mengenai individu yang baru-baru ini melawat Wuhan yang mendapatkan rawatan di hospital dalam negara ini.

Menurut Dzulkefly, sejak 22 Jan, mereka telah menemui 11 suspek kes 2019-nCov di negara ini, tetapi 10 telah disahkan sebagai negatif.

Mereka adalah tujuh rakyat Malaysia yang baru-baru ini mengunjungi China, dua warga China dari Wuhan, dan seorang warga Jordan.

"Ujian yang keputusannya masih belum diperoleh melibatkan seorang rakyat Malaysia, yang baru-baru ini mengunjungi China.

"Dia kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Dzulkefly tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti individu yang disyaki dijangkiti virus berkenaan, namun berjanji akan mengemaskini maklumat kepada media dari semasa ke semasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS