Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR nafi tukar bahagian pilihan raya ikut maklumat e-dompet

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan dakwaan ada pengundi ditukarkan bahagian pilihan raya berdasarkan alamat yang dikemas kini di aplikasi e-dompet yang tular di media sosial adalah palsu dan tidak benar.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata SPR tidak boleh menukarkan bahagian pilihan raya mana-mana pemilih berdaftar tanpa pengetahuan pemilih berkenaan.

“Berikutan daripada hantaran tersebut, talian penting SPR dihubungi oleh pengundi yang merupakan pengguna aplikasi berkenaan untuk mengesahkan maklumat yang telah disebarkan.

"Dalam hal ini, SPR ingin menegaskan bahawa dakwaan yang tular ini adalah palsu dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azhar berkata berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mana-mana pemilih berdaftar yang hendak menukar bahagian pilihan raya mereka perlu membuat permohonan menukar bahagian pilihan raya melalui saluran pendaftaran disediakan SPR iaitu di Ibu Pejabat SPR, Pejabat SPR negeri, semua Pejabat Pos di seluruh negara atau memohon secara dalam talian MySPR Daftar.

Beliau berkata pertukaran bahagian pilihan raya bagi mana-mana pengundi bukan secara automatik sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial .

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS