mk-logo
Berita

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) yang berpangkalan di Kuala Lumpur pagi ini memfailkan saman terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam atas arahannya supaya NGO peguam itu mengakui membuat hantaran palsu di blognya baru-baru ini.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam daripada firma undang-undang Daim & Gamany dan menamakan LFL Sdn Bhd, penasihatnya N Surendran dan Pengarah Melissa Sasidaran sebagai plaintif dengan Shanmugam sebagai defendan tunggal.

Mengikut saman itu, LFL memohon perisytiharan mahkamah bahawa arahan Shanmugam, yang dibuat di bawah undang-undang berita palsu Singapura yang kontroversial itu, adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap plaintif.

Mereka juga memohon mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa Shanmugam, atau sesiapa yang bertindak di bawah bidang kuasanya, tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap plaintif untuk menguatkuasakan mana-mana peruntukan di bawah akta perlindungan daripada kepalsuan dan manipulasi dalam talian (Pofma) Singapura.

Saman sivil hari ini difailkan dua hari selepas Shanmugam mengeluarkan arahan "perintah pembetulan" kepada LFL berdasarkan Pofma mengenai dakwaan LFL bahawa kaedah menyalahi undang-undang telah digunakan dalam hukuman mati di Penjara Changi Singapura.

LFL mendakwa pendedahan itu dibuat oleh pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura kepada kumpulan itu dan mereka telah menghubungi pentadbiran republik berkenaan tetapi tidak berjaya mendapatkan maklum balas.

Dalam satu kenyataan di portal rasminya kemudian, kerajaan Singapura mendakwa tuduhan LFL mengandungi "kenyataan palsu".

Ia mengatakan bahawa di bawah Pofma, LFL dikehendaki meletakkan "makluman pembetulan" pada hantaran dalam talian dengan nota bahawa artikel NGO itu mengandungi kepalsuan.

LFL membantah tindakan Shanmugam, menggelarnya sebagai cubaan untuk menekan pengkritik dan menyalahgunakan undang-undang berita palsu republik itu.

Bercakap kepada pemberita di luar kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, Penasihat LFL, N Surendran (gambar, atas) berkata pihaknya memfailkan saman tersebut kerana tindakan menteri dalam negeri Singapura itu menyekat kebebasan bersuara di Malaysia dengan menggunakan perundangan republik itu.

"Saya hanya ingin menambah sebab kami membawa saman ini, yang bagi kami, terhadap cubaan Singapura untuk menceroboh, atau menyekat, untuk menekan kebebasan bersuara di Malaysia.

"Ini cubaan untuk meluaskan penguasaan mereka dan mengenakan undang-undang berita palsu mereka kepada rakyat Malaysia yang mengeluarkan kenyataan berkenaan di Malaysia.

"Ingat akta antiberita palsu. Kerajaan Malaysia telah memansuhkannya. Kini mereka (Singapura) mahu memaksakan undang-undang palsu mereka terhadap kami," tambah Surendran.

Kakitangan LFL berhadapan tangkapan, penjara

Salah seorang peguam yang mewakili LFL, Gurdial Singh memberitahu pemberita bahawa arahan menteri Singapura terhadap LFL itu suatu tindakan di luar batas sempadan negeri dan menjejaskan hak asasi manusia rakyat Malaysia.

"Beliau berkata pegawai LFL, termasuk Surendran dan Melissa Sasidaran menghadapi akibat yang serius daripada arahan yang dikeluarkan oleh Shanmugam di bawah Pofma.

"Ini kerana mereka boleh didakwa di mahkamah Singapura dan terdedah kepada denda serta boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, jika LFL tidak mematuhi arahan Shanmugam.

"Kes ini menimbulkan beberapa soalan perundangan yang sangat menarik. Secara umumnya, negara berdaulat dan menteri mereka mempunyai kekebalan daripada didakwa di mahkamah negara lain.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, apa yang sedang dilakukan oleh mereka (Singapura) memberikan akibat yang sangat serius terhadap anak guam kami, mereka (Singapura) mengancam jika pembetulan tidak dilakukan mengikut arahan menteri dalam negeri Singapura, mereka (LFL) boleh dikenakan pertuduhan di mahkamah Singapura dan terdedah kepada denda yang sangat besar serta tempoh penjara lima tahun.

"Dan Singapura mempunyai keupayaan untuk menguatkuasakan, di bawah perjanjian timbal balik antara kerajaan Singapura dan Malaysia, isu waran (penangkapan) dan sebagainya. Jadi pelanggan kami menghadapi risiko yang sangat serius," kata Gurdial.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS