Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPJ T'ganu tugaskan anggota menyamar jadi penumpang bas

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menugaskan anggotanya untuk menjalankan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres sempena Op Tahun Baru Cina bermula 11 Jan sehingga 2 Feb depan.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin, berkata penyamaran itu dibuat bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas sepanjang tempoh operasi itu dijalankan.

"Seramai empat anggota ditugaskan untuk melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres setiap hari.

"Setakat ini JPJ meletakkan anggota dalam 39 perjalanan bas bagi laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu-Kuala Terengganu dan laluan Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Tahun Baru Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Katanya melalui penyamaran tersebut JPJ mengesan dua kes melibatkan pemandu menggunakan telefon ketika memandu, satu kes pemandu tidak berpakaian kemas (bagi pemandu kenderaan awam) dan satu kes melanggar syarat permit.

Zulkarnain berkata menerusi operasi itu juga sebanyak 50 bas ekspres telah diperiksa setakat ini dan kesemuanya lulus dalam pemeriksaan berkenaan.

Sementara itu, seramai 289 anggota bersama 26 kenderaan peronda JPJ akan terlibat dalam pemantauan sepanjang tempoh operasi kali ini yang turut memberi tumpuan di 23 lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya yang membabitkan jalan persekutuan, jalan negeri dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS