GLOBAL | Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam - keputusan yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh negara kecil Afrika yang membawa kes itu ke ICJ.
Tindakan undang-undang yang failkan Gambia pada November kepada badan tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.
Keputusan akhir mahkamah mungkin mengambil masa bertahun-tahun, dan keputusan pada Khamis hanya melibatkan permintaan Gambia untuk langkah-langkah awal, lapor Reuters.
Tetapi dalam keputusan sebulat suara oleh 17 panel hakim, mahkamah berkata etnik Rohingya menghadapi ancaman berterusan dan Myanmar mesti bertindak untuk melindungi mereka.
Myanmar mesti "mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk menghalang semua perbuatan" yang dilarang di bawah Konvensyen Genocide 1948, dan melaporkan semula dalam masa empat bulan, kata Hakim Abdulqawi Yusuf ketika membaca ringkasan penghakiman.
Katanya, Myanmar juga mesti menggunakan pengaruhnya terhadap kumpulan tentera dan kumpulan bersenjata yang lain untuk mengelakkan kekerasan terhadap Rohingya yang "bertujuan membawa kemusnahan fizikal secara keseluruhan atau sebahagiannya".
Menteri keadilan Gambia, Abubacarr Tambadou, berkata: "para hakim sepakat memutuskan bahwa genoside tidak dapat ditolak ansur dan keperluan untuk Rohingya dilindungi adalah "kemenangan untuk keadilan antarabangsa"
Gambia membawa kes itu ke ICJ atas hujah bahawa semua negara mempunyai kewajipan undang-undang sejagat untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.
Kes itu dibahaskan bulan lalu oleh beberapa peguam hak asasi manusia, dengan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi sendiri menghadiri perbicaraan di The Hague bagi meminta hakim membatalkan tindakan undang-undang berkenaan.
Lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera pada tahun 2017, memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh.
Penyiasat PBB menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".