Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberian khas RM50,000 'lalu jah', kata Adun Kelantan
Diterbitkan:  Jan 23, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

"Kenapa kerajaan hanya luluskan RM50,000 saja? Sepatutnya bagi RM100,000 atau lebih lagi," demikian kata salah seorang Adun Kelantan semasa mengulas mengenai "pemberian khas" diterima exco negeri itu baru-baru ini.

Tampil membela keputusan kerajaan negeri itu, Adun Tendong, Rozi Muhamad, juga memberitahu semua wakil rakyat PAS di Kelantan "tersenyum lebar" selepas mengetahui kerajaan negeri meluluskan bantuan tersebut untuk exco yang ada.

Katanya, pemberian itu juga bukan sesuatu yang kelihatan pelik.

"Ini kerana, kami sebagai wakil rakyat biasa di seluruh 34 DUN di Kelantan akan menjadikan menteri besar, timbalan menteri besar dan exco-exco tempat kami ''bermanja'' terutama pada akhir tahun (Nov, Dis) dan awal tahun (Jan, Feb) kerana peruntukan semua wakil rakyat sudah ditutup pada tempoh itu," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut Rozi, biasanya wakil rakyat memerlukan bantuan daripada menteri besar sehingga exco negeri untuk memenuhi keperluan program di DUN masing-masing.

Katanya, tempoh akhir tahun dan awal ahun adalah waktu ADUN amat-amat perlukan peruntukan bagi pelbagai kegunaan seperti membantu keluarga miskin dan anak-anak yatim miskin, membiayai keperluar mangsa banjir dan seumpamanya.

Namun begitu, pada akhir tahun ini kami semua boleh tersenyum lebar apabila mendapat tahu RM50,000 telah diluluskan pemberian khas kepada semua exco.

Ringankan beban buat program

"Bersama senyuman itu maka bermulalah surat-surat pemohonan kami bertebaran ke pejabat-pejabat exco untuk memohon sumbangan dan peruntukan sekadar patut," katanya.

Isu pemberian khas itu disahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, seperti dilaporkan Malaysiakini pada 22 Jan lalu.


Baca Takkan nak pakai Viva belaka menteri, kata Mohd Amar


"Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam. Ini adalah pemberian khas susulan pencapaian pendapatan kerajaan negeri.

"Malah, duit pemberian khas ini juga tiada kaitan dengan peruntukan khas oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM400 juta sebelum ini.

"Ia melibatkan exco dan menteri besar yang menerima pemberian khas ini. Bukannya selalu, cuma tahun ini paling banyak dan tahun depan mungkin tiada," katanya.

Pemberian untuk menteri besar, timbalan menteri besar dan exco Kelantan itu dilaporkan beberapa hari selepas kerajaan Kelantan mengesahkan mereka membeli 14 kereta Mercedes Benz yang dianggap tidak wajar dilakukan buat masa ini.

Rozi berkata amat jarang sekali permohonan daripada Adun PAS ditolak oleh exco negeri itu dan ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka menjayakan program yang dirancang.

Katanya, perlu difahami pemberian RM50,000 itu bukannya untuk keperluan pribadi atau kegunaan di DUN exco terbabit saja sebaliknya sentiasa dikongsi dengan DUN lain juga.

"Pemberian kepada setiap exco hanyalah sekadar saluran saja, atau ore Kelate (orang Kelantan) kata lalu jah (sebagai laluan saja).

"Sebab itu kalau saya boleh persoalkan di sini, kenapa kerajaan hanya luluskan RM50,000 sahaja? Sepatutnya bagi RM100,000 atau lebih lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS