ULASAN | Di UK sekarang ini sedang hangat berita mengenai pasangan diraja Britain, Harry dan Meghan yang membuat pilihan untuk "memulangkan" gelaran HRH (his/her royal highness), gelaran tradisi untuk kerabat terdekat monarki Britain.
Mereka juga rela hilang pembiayaan pihak kerajaan untuk menampung kos kehidupan.
Mereka malah akan membayar balik peruntukkan geran khas yang telah digunakan tersebut untuk menaik taraf rumah mereka di Windsor, UK.
Pelbagai spekulasi yang dimainkan media mengenai langkah kontroversi pasangan diraja Britain tersebut yang mendapat restu Ratu Elizabeth II.
Namun Harry dikatakan memilih jalan tersebut demi kehidupan yang lebih bebas bersama isterinya tanpa menjejaskan reputasi pihak istana Britain.
Beliau tidak mahu apa yang menimpa mendiang ibunya, Puteri Diana, terjadi terhadap keluarganya.
Dari kisah keluarga diraja Britain itu kita boleh menilai tahap integriti yang cukup sensitif serta dititik-beratkan dalam budaya feudal moden yang wujud di Britain pada hari ini.
Walaupun ia mungkin sekadar untuk menjaga imej di mata masyarakat umum, namun sedikit-sebanyak ia dapat mengekalkan rasa hormat rata-rata rakyat Britain terhadap sistem dan institusi monarki negara itu.
Terdapat protokol serta etika yang wajar dituruti oleh mereka yang berjawatan dan bergelaran, sama ada dalam politik atau dalam istana di negara-negara maju seperti Britain ini tadi.
Watak-watak yang menjadi perhatian rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan reputasi organisasi yang mereka wakili sungguhpun mereka tidak terlampau terikat dengan piawai moral yang ditetapkan oleh agama mereka.
Pendek kata, soal reputasi dan imej cukup dijaga oleh bangsa-bangsa maju ini terutama di era teknologi maklumat dan komunikasi ketika masyarakat cepat merujuk media sosial untuk sebarang berita, gosip, pendedahan serta komentar-komentar publik secara terbuka.
Seseorang yang berjawatan "sensitif" tidak akan berani mendekati perkara-perkara yang dianggap tidak bermoral atau setaraf dengan jawatan yang sedang disandang.
Persoalannya adakah budaya serta sensitiviti begini wujud dalam nilai moral masyarakat Malaysia?
Mungkin ada insan-insan di luar sana yang mempunyai prinsip serta pendirian yang tegas terhadap hal-hal integriti dan moral, namun adakah kelompok tersebut disanjung oleh masyarakat?
Atau cuba dijatuhkan kerana ada pihak yang lebih selesa dengan kelaziman yang sudah lama wujud dalam berpolitik dan berorganisasi?
Moral, keadilan dan integriti
Hakikatnya agak jarang kita bertemu mana-mana pemimpin atau mereka yang berjawatan besar dalam negara ini yang cuba mengekalkan prinsip moral, keadilan dan integriti ketika berkuasa.
Agak jarang persepsi rakyat atau pandangan masyarakat marhaen diambil kira ketika mereka yang berjawatan dan bergelaran itu mahu memanifestasikan kemewahan, keborosan serta keseronokan yang cuba disorok dari pengetahuan umum.
Oleh kerana itu jugalah kita jarang dengar peletakan jawatan secara sukarela dalam organisasi kerajaan, pengunduran dari posisi politik atau pemulangan gelaran diraja tanpa paksaan di negara ini.
Kerana ia masih bukan budaya orang kita. Di tahun 2020 ini kita masih belum bersedia menjadi bangsa maju seperti Jepun atau Korea Selatan yang ada mentaliti malu untuk gagal atau dilihat korup dan rendah moral.
Malah di negara komunis China pun, seramai 194, 200 anggota Parti Komunis China (CPC) yang didakwa melanggar peraturan parti dan undang-undang negara tersebut pada tahun 2019 dikenakan tindakan disiplin serta hukuman.
Antara kesalahan yang menjadi dosa besar oleh pemerintah komunis di China ialah hedonisme iaitu kelakuan yang menjurus kepada keseronokan melampau tanpa batas moral atau agama seperti yang pernah terjadi di zaman akhir empayar Rom dahulu. Contohnya maksiat dan hiburan ekstrem.
Jika persepsi rakyat gagal diseimbangi dengan prinsip moral dan integriti yang tegas, maka tidak hairanlah masih ada orang kita yang rela mencium tangan pencuri dan menggelarkannya "Bossku", seperti kata YAB Perdana Menteri Dr Mahathir yang turut memberi amaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini boleh jadi sepenggal jika persepsi rakyat tidak dijaga.
DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.