Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir jawab Ahmad Maslan: Tuan masak, banduan semua gembira
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 12:46 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini membalas pantun empat rangkap Ahmad Maslan yang mendakwa dirinya sebagai "mangsa kezaliman" susulan didakwa di Mahkamah sesyen Kuala Lumpur semalam.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.

Selama ini, ahli parlimen Pontian itu memang terkenal dengan bakat penulisan puisi yang sering dihantarnya di media sosial, selain kemahiran memasaknya.

Pada tahun 2015, Ahmad Maslan mengundang bidasan dari warga maya apabila dia berkongsi resipi hidangan nasi goreng tanpa GST dalam usaha mendidik rakyat supaya berjimat-cermat.

Sementara itu, Kadir, dalam gurindam yang disiarkan di blognya, berkata, Ahmad Maslan selaku panglima berani tidak perlu cemas jika dirinya tidak bersalah.

“Panglima berani usah gelabah
Belum dibicara, belum salah
Kalau tuan tidak buat jenayah
Penguasa zalim tentu kalah.”

Kadir juga mengimbau bagaimana Ahmad Maslan suatu ketika dahulu “begitu berani dan sombong" mempertahankan Najib "siang dan malam" ketika BN berkuasa.

“Tuan sombong bukan kepalang
Cakap besar macam hulubalang
Semua musuh tuan ganyang
Pertahan Najib malam dan siang.”

Walau bagaimanapun, Kadir, yang juga adalah penasihat media Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata jika ditakdirkan Ahmad Maslan masuk penjara, maka dia tidak harus bimbang atau bersedih.

“Jika takdir tuan masuk penjara
Jangan gundah, janganlah hiba
Kepakaran tuan amat berharga
Tuan masak, banduan semua gembira.”

Pada catatan yang sama, beliau menasihatkan pemimpin Umno supaya mencari helah jika mereka membuat jenayah dan “membelasah duit rakyat”.

“Tuan jawablah kepada mahkamah
Seandainya tuan tidak bersalah
Janganlah tuan berhati gundah
Segala tuduhan berjaya disanggah.

Tapi kalau tuan buat jenayah
Duit rakyat tuan belasah
Silalah tuan cari helah
Andai tidak ke penjaralah arah.”

Selain Ahmad Maslan, bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad juga didakwa semalam di mahkamah yang sama kerana gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.

Kedua-dua mereka mohon dibicarakan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Berikut gurindam penuh nukilan Kadir:

Panglima berani usah gelabah
Belum dibicara, belum salah
Kalau tuan tidak buat jenayah
Penguasa zalim tentu kalah.

Dulu tuan sangatlah berani
Cakap besar satu negeri
Mengaku duit Najib yang bagi
Sebab tuan amat dipercayai.

Tuan sombong bukan kepalang
Cakap besar macam hulubalang
Semua musuh tuan ganyang
Pertahan Najib malam dan siang.

Tuan jawablah kepada mahkamah
Seandainya tuan tidak bersalah
Janganlah tuan berhati gundah
Segala tuduhan berjaya disanggah.

Tapi kalau tuan buat jenayah
Duit rakyat tuan belasah
Silalah tuan cari helah
Andai tidak ke penjaralah arah.

Jika takdir tuan masuk penjara
Jangan gundah, janganlah hiba
Kepakaran tuan amat berharga
Tuan masak, banduan semua gembira.

Selamat tuan membela diri
Pandai bertabuh pandailah menari
Jangan salahkan kepada bumi
Kalau rentak tidak menjadi.

Kadir mengakhiri tulisan dengan bahasa Jawa: “Manungsa mung ngunduh wohing pakarti.” Ia membawa maksud "Kehidupan manusia baik dan buruk adalah akibat dari perbuatan manusia itu sendiri".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS