Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perak kutip hasil lebih RM1 bilion pada 2019
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan mencatat kutipan hasil RM1.09 bilion pada tahun lepas iaitu 106 peratus melebihi sasaran RM1.03 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata jumlah itu meningkat RM63.9 juta, lebih tinggi daripada kutipan pada 2018 dan antara penyumbang utama adalah Pejabat Tanah dan Galian Perak serta semua pejabat tanah.

"Kutipan hasil tanah pada 2019 adalah RM688.7 atau 106.91 peratus berbanding sasaran RM644.2 juta.

“Pencapaian ini membolehkan kerajaan negeri menutup akaun berakhir Disember 2019 dengan lebihan RM52.33 juta, meningkat berbanding lebihan RM50.11 juta yang direkodkan pada 2018,” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif dan Amanat Tahun Baru 2020 bersama penjawat awam negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh hari ini.

Belanjawan 2019 Perak yang dibentang pada 27 Nov 2018 menyediakan peruntukan RM1.06 bilion.

Ahmad Faizal berkata, adalah tidak benar sekiranya ada pihak yang mengatakan prestasi baik itu disebabkan oleh tindakan kerajaan mengurangkan perbelanjaan terutama perbelanjaan pembangunan.

"Ini adalah andaian tidak berasas kerana rekod menunjukkan prestasi perbelanjaan mengurus dan emolumen mencapai tahap 96 peratus, manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah 90 peratus.

“Bagi meneruskan momentum pembangunan negeri, RM430 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan berbanding RM400 juta pada 2019. Ini adalah jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS