Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kompleks JPM dinamakan Setia Perdana, MCA kaitkan peralihan kuasa
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 6:36 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Parcel B di Putrajaya bakal dijenamakan sebagai Kompleks Setia Perdana berkuat kuasa 1 Feb ini.

Sehubungan itu, lapan blok bangunan kompleks berkenaan selepas ini akan dikenali sebagai "Setia Perdana 1" sehingga "Setia Perdana 8", dan bukan lagi "Blok 1" sehingga "Blok 8."

"Ini memandangkan nama yang digunakan kini iaitu Kompleks Parcel A hingga F, merupakan nama asal semasa sesi pembangunan Putrajaya 25 tahun dahulu," kata JPM dalam satu kenyataan hari ini.

Kediaman rasmi perdana menteri sebelum ini diberi gelaran sebagai "Seri Perdana."

Tiada alasan diberikan terhadap perubahan nama itu yang digunakan sejak 1995.

"Usaha penjenamaan semula ini tidak langsung bersifat politik, bahkan nama yang dipilih merupakan hasil daripada pertandingan yang telah diadakan awal tahun 2019 di kalangan penjawat awam di Kompleks B.

"Penjenamaan semula ini berkuatkuasa 01 Februari 2020 sempena Sambutan Hari Wilayah," jelas JPM.

Terdahulu hari ini, Presiden MCA Wee Ka Siong menyindir Pakatan Harapan (PH) kerana menjenamakan semula bangunan di pusat pentadbiran kerajaan itu.

"Mudah-mudahan dengan pertukaran nama ini maka hutang negara akan susut, ekonomi bertambah baik, pelabur semakin ramai melabur, tol dihapuskan dan kehidupan rakyat kembali ceria.

"Terfikir juga, adakah ketika ini 'angin' sedang bertiup kencang di Putrajaya?" soalnya.

Walaupun tidak mengulas lanjut, presiden MCA itu jelas merujuk kepada spekulasi berhubung peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

 

Pada sidang akhbar petang ini, Mahathir disoal mengenai laporan berita yang mendakwa terdapat pensejajaran politik baru dalam usaha membawa masuk PAS menyertai PH.

Laporan itu mendakwa kerjasama politik baru itu akan menyingkirkan DAP dan menghapuskan peluang untuk Anwar menjadi perdana menteri kelapan.

Mahathir, bagaimanapun hanya ketawa ketika diajukan soalan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, perdana menteri berkata beliau tidak menyimpan dendam dan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk kebaikan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang digelarkannya sebagai pencuri.

Najib menghadapi perbicaraan berhubung skandal 1MDB dan dana RM42 juta daripada SRC International Bhd yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS