Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir pelik orang cium tangan pencuri
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 3:08 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan rakyat agar berwaspada dalam memilih pemimpin bagi mengelak kemungkinan negara diterajui semula oleh apa yang disifatkan beliau sebagai pencuri.

Perdana menteri merangkap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau tidak faham bagaimana sesetengah masyarakat mudah terpengaruh dengan orang yang kini menghadapi perbicaraan atas tuduhan melakukan perbuatan itu.

"Kita sampai kepada satu tahap yang orang cium tangan pencuri, panggil bossku, jadi bossku curi duit pun tak apa. It's okay to steal (Adalah okay mencuri)," katanya dengan nada sinis.

"Saya tak taulah macam mana orang boleh terpengaruh dengan seorang yang even now is facing a trial for cheating, for stealing money (malah sekarang sedang dibicarakan bagi pertuduhan menipu, mencuri duit)," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas melawat projek demonstrasi 5G di Langkawi, hari ini.

Menurut perdana menteri, kini ada pihak yang menganggap kononnya orang inilah yang terbaik.

"Kalau dia (pengundi) nak orang ini balik, okaylah. Pada pilihan raya (umum) ke-15, pilihlah. Lepas tu jangan haraplah PH nak ambil alih semula, nak betul semula (pentadbiran kerajaan).

"Jika pengundi di negara ini berpendapat bahawa penyangak yang patut mentadbir negara ini kerana penyangak memberikan anda banyak wang, silakan. Tetapi daripada PH, jangan harap kami akan berikan wang, wang curi kepada rakyat," kata Dr Mahathir.

Perdana menteri memberikan jawapan itu sebagai mengulas laporan sebuah agensi berita antarabangsa yang menyatakan kononnya PH akan menjadi kerajaan sepenggal jika masalah dalamannya berlarutan.

Dr Mahathir menegaskan beliau tidak fikir PH akan menjadi kerajaan sepenggal.

Namun, beliau berkata kerajaan sebelum ini meninggalkan banyak masalah yang terpaksa diselesaikan

Ini, katanya, berbeza dengan keadaan sewaktu beliau mula menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981 dahulu yang pada ketika itu semuanya teratur dan segala keputusan akan dilaksanakan dengan baik.

"(Tapi) sekarang ini kita kena bersihkan pentadbiran, kita kena cari wang untuk bayar hutang, kita juga dapati orang yang dahulu yang cekap terpaksa dibersarakan kerana mereka terlibat dengan rasuah.

"Orang baharu ambil alih dan orang baharu sudah tentu tidak secekap orang lama. Akhirnya PH ini terkenal dengan tak pandai nak cerita (kebaikan yang dibawa kerajaan PH)," kata Dr Mahathir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS