Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga cedera gempa 6.4 magnitud gegar Xinjiang
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

GLOBAL l Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang berada dalam keadaan kritikal selepas gempa berukuran 6.4 magnitud melanda Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur China pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Gempa itu melanda daerah Jiashi di wilayah Kashgar pada 9.27 malam Ahad (waktu Beijing), diikuti sekurang-kurangnya lapan gegaran susulan, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

Beberapa penduduk di Jiashi berkata mereka merasakan gegaran kuat, terutama yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat. Beberapa penduduk keluar meninggalkan rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Mangsa yang cedera termasuk dua kanak-kanak dan diberikan rawatan oleh kakitangan perubatan, kata anggota penyelamat.

Anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan kerja-kerja memindahkan penduduk sedang dijalankan di kawasan yang terjejas.

Sembilan perkhidmatan kereta api penumpang di zon gempa bumi turut digantung sementara.

Pusat gempa dicatatkan pada 39.83 darjah utara dan 77.21 darjah timur dengan kedalaman 16 km, kata CENC dalam satu kenyataan.

Menurut CENC, satu lagi gempa 5.2 magnitud mengegar bandar Artux, tidak jauh dari Jiashi, pada 10.23 malam Ahad (waktu Beijing). Pusat gempa dicatatkan pada 39.89 darjah utara dan 77.46 darjah timur.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS