LANGSUNG | Hari ke-69 perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International terhadap Najib Razak akan bermula jam 11 pagi ini.
Malaysiakini membawakan liputan langsung prosiding di mahkamah.
12.57 tengah hari: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan ke pukul sembilan pagi esok.
Ia bagi memberi lebih masa kepada pasukan pendakwaan dan juga pembelaan untuk penghujahan berhubung permohonan Najib Razak agar pakar tulisan Australia memeriksa ketulenan tandatangannya pada sejumlah dokumen utama SRC International, yang sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai eksibit.
12.15 tengah hari: DPP Sithambaran menyifatkan permohonan pembelaan untuk memanggil saksi pakar, di saat perbicaraan sudah mencapai tahap ini, sebagai hanya "langkah taktikal" (tactical manoeuvre).
Sithambaran mendakwa pihak pembelaan boleh membuat permohonan lebih awal, iaitu ketika peringkat pendakwaan.
Beliau berkata demikian dalam hujahannya menentang permohonan pembelaan untuk memanggil pakar tulisan tangan dari Australia untuk memeriksa tandatangan Najib Razak pada tujuh dokumen berkaitan SRC International.
Pembelaan mempertikai ketulenan dokumen itu, dan Najib berkata dia ragu sama ada pernah menurunkan tandatangannya. Ia bertentangan dengan kenyataan awal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana di mengakui menandatangani dokumen tersebut.
"Oleh kerana jelas sebelum dan semasa perbicaraan mereka yakin tentang pemalsuan, segala drama yang mereka mengesyaki berlaku pemalsuan ketika perbicaraan adalah langkah taktikal (tactical manoeuvre) untuk meletakkan pendakwaan dalam kedudukan yang merugikan.
"Di peringkat pihak pendakwaan telah pun menutup kesnya," kata Sithambaram.
"Mereka memilih untuk mengabainya dan kini memilih untuk membukanya," katanya lagi.
DPP itu turut menyasarkan hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan gagal mendapatkan saksi pakar untuk memeriksa dokumen tersebut.
Dia berkata pendakwaan tidak perlu berbuat demikian kerana mereka bergantung kepada bukti langsung dengan menyerahkan dokumen tersebut.
11.50 pagi: Mahkamah diberitahu pasukan pembelaan Najib Razak tidak membantah penerimaan dokumen utama SRC yang memiliki tandatangan Najib yang dipertikaikan, ketika peringkat awal perbicaraan.
DPP V Sithambaram berkata, maka mahkamah tidak seharusnya membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu agar seorang pakar tulisan Australia memeriksa ketulenan tandatangannya pada dokumen tersebut.
Katanya, permohonan itu dibuat dengan mala fide (niat jahat) dan hanya sebagai perkara yang difikir kemudian, dan menandakan "gostan" (pusingan U) daripada pendirian awal mereka dalam membenarkan penerimaan eksibit itu sebagai bukti ketika peringkat pendakwaan, tahun lalu.
"Permohonan ini satu cubaan untuk meminta mahkamah nyahtanda dokumen yang telah pun menjad eksibit pendakwaan atau pembelaan, meminta mahkamah memperbaharui keputusannya atas asas yang lemah dan tidak berasas oleh pembelaan," katanya.
11.45 pagi: Prosiding bersambung dengan DPP V Sithambaran berhujah mengapa mahakamh tidak perlu membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak agar seorang pakar tulisan dari Austraila memeriksa ketulenan tandatangannya di dokumen SRC International.
11.18 pagi: Peguam Harvinderjit Singh menyelesaikan hujahannya untuk permohonan memanggil saksi pakar bagi memeriksa ketulenan tandatangan Najib pada dokumen SRC International.
Perbicaraan kemudian berehat sekejap dan dijangka bersambung semula dalam 10 minit, dengan pihak pendakwaan membuat penghujahan berkenaan perkara itu.
10.35 pagi: Pakar tulisan tangan Australia hanya boleh menentukan ketulenan tandatangan Najib Razak pada dokumen SRC International jika dia dibenarkan memeriksanya secara fizikal, Mahkamah Tinggi diberitahu.
Peguam Harvinderjit Singh berkata mahkamah perlu membenarkan individu bernama Dr Steven untuk memeriksa 13 dokumen yang dipertikai itu, kerana setakat ini dia hanya melihat salinan imbasan (scanned) dokumen itu, yang diberikan pihak pembelaan pada Disember tahun lalu.
"Dr Steven dari Australia kembali kepada kami dengan laporan awal. Dia berkata ada had (untuk apa yang boleh dilakukannya) kerana dia tidak boleh memastikan sama ada dokumen itu dimanipulasi atau tidak, sehingga dia melihat dokumen primer dan memeriksa dokumen itu.
"Dr Steven tidak datang ke sini untuk dictate Yang Arif," katanya.
Katanya, ini kerana pakar itu hanya memberikan bukti berhubung satu bukti dalam keseluruhan kes.
10.15 pagi: Peguam Harvinderjit Singh berkata pihaknya mempertikai ketulenan 13 dokumen berkaitan SRC International yang diserahkan pihak pendakwaan sebagai eksibit.
Dia berkata demikian dalam hujahannya bagi permohonan pembelaan untuk mendapatkan seorang saksi pakar memeriksa tandatangan Najib Razak pada dokumen tersebut.
Menurut Harvinderjit, ketulenan dokumen itu tidak benar-benar ditentukan, dan sebab itulah pasukan pembelaan mahu memanggil seorang saksi pakar untuk memeriksanya dan memberi keterangan di mahkamah.
Dia juga seperti menyasarkan pasukan pembelaan dengan berkata mereka yang menggalas beban pembuktian berkenaan ketulenannya.
"Mereka pihak yang mengeluarkan dokumen ini," katanya lagi.
Dia kemudian menyangkal dakwaan pendakwaan sebelum ini bahawa pasukan pembelaan Najib cuba melakukan "serang hendap" dengan mahu memanggil pakar ketika peringkat pembelaan.
Katanya, pihaknya telah mempertikai tandatangan Najib di dokumen itu sejak tahap pendakwaan perbicaraan ini.
9.46 pagi: Peguam Harvinderjit Singh memulakan penghujahan berkenaan permohonan Najib Razak agar pakar tulisan tangan Australia dibenarkan memeriksa dan menentukan ketulenanan tandatangan bekas perdana menteri itu di beberapa dokumen utama SRC International.
Ia untuk 35 eksibit dokumen yang digunakan pendakwaan untuk membuktikan kes prima facie terhadap Najib bagi tujuh dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang sebanyak RM42 juta dari SRC International.
Najib ketika itu menjadi penasihat emeritus syarikat tersebut, serta perdana menteri dan menteri kewangan.
9.44 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan bermula.
9.10 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas tiba di mahkamah dan bertemu dengan anggota pasukan pendakwaan yang lain.
9.04 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di barisan depan galeri awam.
Turut dilihat di mahkamah ialah anggota pasukan pendakwaan dan juga pembelaan.
Selepas perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB minggu lalu, bekas perdana menteri Najib Razak hari ini akan meneruskan perbicaraan untuk kes penyelewengan dana SRC International melibatkan RM42 juta pula hari ini, yang telah masuk hari ke-70.
Apabila prosiding di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula nanti, pihak pendakwaan akan meneruskan pemeriksaan balas dengan Najib yang juga bekas menteri kewangan.
Ketika prosiding sebelumnya, pada 9 Januari, mahkamah antara lain diberitahu bahawa Najib tidak membenarkan menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah untuk ke Switzerland bagi membawa pulang beberapa bilion dana SRC kerana beliau tiada rancangan yang wajar bagaimana untuk berbuat demikian.
Dalam perbicaraan itu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan rakaman audio yang dikatakan perbualan Najib dengan beberapa individu berkenaan skandal 1MDB, yang didedahkan SPRM.
Kemudian pada Jumaat lalu, pihak pendakwaan mengesahkan firma guaman Shafee telah membuat permohonan itu.