Seorang suri rumah kerugian RM59,500 selepas diperdayakan Macau Scam yang mendakwa dia mempunyai tunggakan pinjaman atas namanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt, Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang berusia 57 tahun mendakwa dihubungi seorang wanita pada Khamis lepas, kononnya wakil ibu pejabat sebuah bank berhubung tunggakan pinjaman.
Mangsa yang menafikan dakwaan itu kemudian dihubungkan dengan 'polis' berpangkat sarjan yang memberitahu namanya turut dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram yang memerlukan mangsa bercakap dengan pegawai atasan polis.
"Mangsa mendakwa pegawai polis itu mengarahkannya untuk memindahkan wang simpanan miliknya ke sebuah bank yang dikatakan lebih selamat berbanding bank lain dan menukar nombor telefon pada ruangan maklumat peribadi.
"Mangsa mendakwa dia tidak mengesyaki apa-apa sehingga mendapati wang simpanannya hanya berbaki RM100 semasa membuat semakan pada petang semalam," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama