ULASAN | Seramai 29,664 pengundi di P.176 Parlimen Kimanis dijangka menunaikan tanggungjawab bagi memilih anggota parlimen baru selepas kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman di kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dibatalkan.
Secara jujurnya, sehingga kini masih sukar untuk meramalkan sokongan pengundi. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan peluang.
Umpama perlawanan bola sepak antara pasukan gergasi yang sama kuat, masing-masing mempunyai pemain bintang yang popular, percaturan yang menarik dan saling berbalas serangan membuatkan penonton terhibur dengan aksi dipamerkan kedua-dua pasukan.
Meskipun ada penyelidik yang meramalkan bahawa Warisan akan menang selesa, ya, itu tidak mustahil kerana Warisan mempunyai jentera yang kuat dan sumber mencukupi sebagai sebuah kerajaan negeri.
Ada pengundi yang akan memilih Warisan kerana kedudukan parti itu sebagai kerajaan untuk mendapatkan bantuan, kemudahan dan sebagainya, apatah lagi ini hanya pilihan raya kecil (PRK) yang tidak akan mengubah kerajaan negeri mahupun pusat.
Pun begitu, berdasarkan permerhatian, ramai pengundi yang berada di atas pagar mengambil keputusan "menutup mulut" tidak mahu menunjukkan kecenderungan sokongan mereka ke arah parti mana.
Kekuatan seimbang
Tidak mustahil juga jika Warisan bakal berdepan undi protes daripada pengundi Kimanis. Ramai yang tidak senang dengan cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), namun, mereka sembunyikan bantahan untuk diterjemahkan di kertas undi.
Seperti kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi semalam dengan penuh yakin, berdasarkan gerak kerja parti itu, BN mampu mempertahankan kerusi Kimanis sebagai kubu kuat mereka.
Malah, berdasarkan sumber parti itu, sehingga semalam mereka meramalkan yang BN dijangka akan menang dengan majoriti selesa berbanding PRU ke-14 lalu.
Pada PRU ke-14, Anifah yang mewakili BN menewaskan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti tipis 156 undi.
Anifah memperoleh 11, 942 undi manakala Karim mendapat 11,786 undi. Warisan sekali lagi mempertaruhkan Karim dalam PRK kali ini.
Jika berpandukan keputusan PRU lalu, kekuatan kedua-dua parti adalah seimbang dan BN mempunyai kekuatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut.
Pada PRU itu, calon BN DUN Membakut Mohd Arifin Mohd Arif yang juga menantu Musa Aman menang dengan majoriti 2,403 undi menewaskan calon Warisan Abd Sani Marip@Marif.
Arifin yang kini keluar parti menyertai Bersatu memperoleh 6,495 undi dan Abd Sani 4,092 undi.
Di DUN Bongawan calon Warisan Daud Yusof menewaskan calon BN Mohamad Alamin dengan 795 undi.
Daud mendapat 6,912 undi dan Mohamad yang kini dicalonkan BN dalam PRK Kimamis memperoleh 6,117 undi dan calon Parti Harapan Sabah Jaafar Ismail 627 undi.
Sokongan BN di Membakut agak menyeluruh dan kemungkinan akan dibantu undi Bersatu, namun di Bongawan dilihat agak seimbang bagi kedua-dua parti.
Pecahan pengundi
Gelombang rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) tidak begitu dirasai di Kimanis. Seperti kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, Kimanis bukan Tanjung Piai.
Pecahan pengundi Kimanis menunjukkan sebanyak 67 peratus pengundinya adalah terdiri daripada Muslim Bumiputera etnik Melayu Brunei dan sedikit Bajau.
Manakala, 30 peratus pengundi lagi etnik Kadazandusun Murut (KDM) dan peratus lagi adalah Cina.
BN mempertaruhkan sokongan Melayu Brunei yang merupakan pengundi majoriti, sentimen agama dan anti PH di semenajung mempengaruhi etnik pengundi ini.
Disebabkan itu jika meneliti kempen BN PRK Kimanis mereka menggempur habis-habisan pengundi etnik Melayu Brunei. Sedikit kelebihan kepada calon BN, Mohamad yang juga etnik Melayu Brunei.
Warisan pula memberi fokus kepada KDM sebagai kunci kepada kemenangan calon mereka.
Jika sokongan pengundi KDM memihak Warisan mereka hanya perlukan sedikit sokongan pengundi Melayu Brunei untuk menobatkan Karim sebagai anggota parlimen Kimanis.
Tetapi, jangan dilupa juga dengan pengaruh Anifah yang sudah lama bertapak di Kimanis.
Apa pun keputusan akhirnya hanya akan ditentukan pengundi Kimanis, tidak sampai 24 jam untuk proses pembuangan undi berlangsung. Penulis pasti pengundi sudah membuat pilihan siapa wakil rakyat yang akan mewakili mereka.
Sama ada Warisan mahupun BN, jawapan itu dijangka hanya akan diketahui paling awal jam 8 malam esok. Selamat mengundi buat warga Kimanis.