Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas bos WRP Asia nafi dakwaan salah urus syarikat
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 10:51 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Bekas CEO firma pembuat sarung tangan, WRP Asia Pasific Sdn Bhd, Lee Son Hong menafikan dakwaan pihak lembaga pengarah yang mendakwa beliau salah urus syarikat tersebut.

Peguam Lee, Guok Partnership dalam surat kepada The Edge Financial Daily, dilaporkan berkata, Lee telah bekerja keras, bahkan memberi jaminan pembiayaan secara peribadi untuk mempertahankan syarikat itu.

“Anak guam saya sudah berusaha keras menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan syarikat itu sehingga ia menjadi seperti hari ini. Malah anak guam saya telah memberikan jaminan peribadi beliau (dan isterinya) untuk mendapatkan pembiayaan terhadap syarikat itu.

"Di samping itu, anak guam kami juga telah meminjamkan (kira-kira) kira-kira RM10 juta untuk menyokong operasi syarikat yang masih berhutang kepadanya.

“Kebajikan pekerja tetap menjadi keutamaan buat anak guam saya.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa komitmen anak guam saya dan rasa kasihnya kepada syarikat menjadi asas kejayaan syarikat tersebut,” kata surat itu seperti yang dilaporkan.

Sejak Oktober tahun lalu, WRP menjadi tumpuan ramai selepas Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat menyekat produk WRP Asia daripada memasuki negara itu susulan dakwaan menggunakan buruh paksa.

Premis itu kini terlibat dalam pertikaian antara pemegang saham dan pihak pengurusannya, menyebabkan nasib lebih 1,000 pekerja tidak menentu.

Guok Partnership dilaporkan berkata, punca masalah syarikat itu timbul akibat pertikaian antara Lee dan TAEL Partners berhubung pegangan saham dalam syarikat.

Perkara itu kini dibawa ke Pusat Timbang Tara Singapura (SAC).

“Sebenarnya, tindakan undang-undang awalnya dimulakan oleh TAEL Partners untuk mendapatkan kawalan terhadap syarikat itu walaupun sedia maklum kes itu masih ditangguhkan di SAC,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, firma undang-undang Thomas Philip - yang mewakili lembaga pengarah WRP Asia Pasifik - berkata para pengarah baru telah dilantik ke dalam lembaga syarikat.


BACA: Pekerja syarikat sarung tangan dapat gaji, tapi mungkin tetap dihantar pulang


Jelasnya, Michael Sng Beng Hock dan Abinash Majhi telah dilantik sebagai pengarah eksekutif untuk mengawasi kesemua aspek syarikat berkenaan.

Sementara itu, Eddie Lim pula akan menyelia urusan kewangan, modal insan dan pentadbiran syarikat itu, manakala Loong Mei Yin pula mengendalikan bahagian pemasaran.

Selain itu, Chew Ehon pula akan menguruskan operasi, pengeluaran, perolehan, jaminan kualiti, gudang, perkapalan, hal ehwal peraturan, penyelidikan, pembangunan dan sokongan pakar, dan kejuruteraan.

"Kami menganggap pelantikan baru sebagai langkah penting untuk menubuhkan rangka kerja mengenai bagaimana syarikat akan dihidupkan semula dan berfungsi di sini dan seterusnya," kata rakan pengurusan dan pengasas firma Thomas Philip, Mathew Thomas Philip dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagu, lembaga pengarah syarikat yang baru akan bersungguh-sungguh terus mengamalkan keterlusan dan akauntabiliti pada setiap lapisan di semua peringkat operasi WRP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS