Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tindakan terhadap syarikat jual kerusi keselamatan kanak-kanak tak ikut piawaian'

Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna (KPDNHEP) untuk memantau dan memastikan penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) adalah memenuhi piawaian selepas ia dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata KPDNHEP akan mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat pembekal yang menjual CRS tidak mengikut piawaian di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Selepas 1 Januari, produk-produk yang masuk pasaran mesti memenuhi piawaian sebab kebanyakan CRS telah diimport,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 bersempena sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah arah utara hari ini.

Beliau berkata kementeriannya mengambil pendekatan praktikal dengan membenarkan ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang telah dibeli sebelum penguatkuasaan penggunaan kerusi tersebut awal tahun ini.

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah penguatkuasaan dari segi pemakaian sahaja, jadi kita nak jelaskan kepada orang ramai bahawa jangan bimbang sebab banyak persoalan telah ditimbulkan ibu bapa ada yang sudah beli CRS tidak mengikut piawaian jadi mereka boleh gunakan.

“Sebab kita tidak mahu memaksa pengguna tetapi kita menasihatkan supaya mereka periksa dulu sebelum membeli dan ikut garis panduan. Ada pelekat dan kod QR yang dipaparkan pada kerusi,” katanya.

Loke berkata setakat ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak itu pada kenderaan lain.

“Begitu juga pemandu e-hailing ia dianggap sebagai kenderaan perkhidmatan awam jadi kita tidak mandatori kepada kenderaan berkenaan. Jika ada (mandatori) kita akan umum tetapi setakat ini belum lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak berkenaan telah meningkat lebih dua kali ganda sejak Nov tahun lepas sebelum ia dikuatkuasakan 1 Jan lalu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan awal tahun ini, bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak, daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baru itu susulan statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

Pada Oktober tahun lepas, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Nurulhana Borhan berkata hanya kerusi keselamatan kanak-kanak yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia.

Katanya, piawaian itu ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS