Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bantuan Program Sarapan Pagi (PSP) akan diteruskan seperti dijadualkan tetapi hanya dikhususkan kepada pelajar tidak berkemampuan.
Katanya, adalah tidak adil jika bantuan sarapan percuma itu terus diberikan kepada anak golongan kaya kerana mereka mempunyai makanan yang mencukupi di rumah.
“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tetapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah banyak pun dapat juga, itu tidak adil.
“Kita akan teruskan yang ada sekarang dan kita akan tambah mereka yang berhak untuk dapat sarapan pagi,” katanya selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur, hari ini.
Tahun lalu, bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan seramai kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan layak menikmati sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.
Katanya, fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100 sekolah rendah di seluruh negara yang membabitkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.
'Mustapa ada pengalaman'
Pada sidang akhbar yang sama, perdana menteri turut mempertahankan pelantikan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapa Mohamed sebagai pengerusi Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju).
"Dia ada sedikit pengalaman.
"Kita ada sangat sedikit orang berpengalaman dalam kerajaan dan juga di luar (kerajaan). Jadi kita perlu ada orang yang ada pengalaman," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
Teraju adalah agensi kerajaan di bawah kementerian hal ehwal ekonomi yang bertanggungjawab telam soal penyertaan ekonomi golongan bumiputera.
Mustapa yang merupakan anggota parlimen Jeli keluar Umno untuk menyertai Bersatu pada Oktober 2018.