Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK singkir 7 anggota majlis pimpinan sebab tak hadir mesyuarat

Pemuda PKR (AMK) menyingkirkan tujuh anggota daripada majlis pimpinannya atas sebab tidak hadir mesyuarat.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan kepada salah seorang anggota itu yang dilihat Malaysiakini, keputusan itu berdasarkan Perkara 7.14 Peraturan Tetap AMK 2014 yang menetapkan anggota majlis pimpinan AMK yang tidak hadir mesyuarat sebanyak enam kali berturut-turut tanpa alasan memuaskan, dianggap telah meletakkan jawatan.

Surat itu juga menyebut surat tunjuk sebab telah dikeluarkan pada 18 Disember, namun tiada balasan diterima selepas tujuh hari.

Surat itu bertarikh 15 Januari 2020 dan ditandatangani Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab.

Ketika dihubungi, Ketua AMK Akmal Nasrullah nasir mengesahkan surat tersebut.

Tujuh anggota majlis pimpinan yang disingkirkan ialah Nagarajan Kaniappan, Ahmad Khairul Mohamed Noor, Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, Mohd Firdaus Yusoff, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim.

'Ikut proses'

Akmal berkata penyingkiran mereka mengikut proses yang sepatutnya.

Katanya, AMK telah menunjukkan rekod kehadiran semua 73 anggota majlis pimpinan ketika kongres sayap PKR itu bulan lalu.

Katanya lagi, rekod itu disertakan dalam laporan yang diberikan kepada semua perwakilan, dan menunjukkan tujuh anggota itu tidak hadir sebarang mesyuarat pada 2019 tanpa memberikan apa-apa sebab.

"Kami bersikap telus dengan mengeluarkan (rekod kehadiran) ketika kongres. Tiada yang persoalkan atau cuba persoalkan (rekod) kehadiran itu. Tiada yang mencabarnya.

"Jadi secara asasnya proses yang betul (due proses) telah diikut," katanya lagi.

Akmal berkata pengganti mereka akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan AMK pada Ahad ini.

"Menurut peraturan, ketua AMK boleh memutuskan pengganti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS