Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC tak dakwa Anwar: IGP wajar elak buat komen beri kesan tak adil - Saifuddin
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 6:07 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sewajarnya tidak memberi komen yang memberi kesan tidak adil kepada pihak yang terlibat, kata setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin merujuk kepada keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther.

Saifuddin juga menyifatkan kenyataan Abdul Hamid berhubung perkara itu sebagai tidak cermat.

"Beliau perlu lebih berhati-hati ketika memberi komen... Kenyataannya seolah-oleh memberi konotasi insiden tersebut sebenarnya berlaku.

"IGP wajar elak membuat komen yg memberi kesan ketidakadilan terhadap individu-individu yang terlibat (dalam dakwaan itu)," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Abdul Hamid berkata tiada apa yang mencurigakan atau tersembunyi dengan keputusan AGC itu, yang dibuat berdasarkan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis.

Katanya, sukar untuk pihak berkuasa mendapatkan bukti fizikal dan sokongan (corroborative evidence) memandangkan insiden itu didakwa telah lama berlaku.

"Ia (didakwa) telah lama berlaku, satu atau dua tahun lalu. Ia sukar, kita perlukan buktikan fizikal. Sama ada dia (Yusoff) bercakap benar atau tidak, itu soalan lain tetapi apa bukti sokongan yang kita ada," katanya.

Semalam, AGC memaklumkan keputusannya untuk tidak mendakwa Anwar berhubung dakwaan yang dibuat Muhammed Yusoff kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah se ksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen kanun itu.

Anwar berkata akan tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap Yusoff untuk "memastikan keadilan ditegakkan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS