Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pesta Ponggal tanda kesyukuran pada alam semula jadi'

Pesta Ponggal adalah perayaan unik buat masyarakat Tamil dan ia tanda kesyukuran kepada alam semula jadi atas hasil tuaian yang baik, kata bekas presiden Hindu Sangam Malaysia A Vaithilingam.

"Sama ada ia sambutan kebudayaan semata-mata atau ada sedikit unsur agama, ia adalah soal tafsiran tetapi yang pastinya ia turut dihormati oleh masyarakat Tamil yang beragama Kristian dan Islam," katanya.

Menurut Vaithilingam, bekas presiden India yang beragama Islam, Allahyarham Abdul Kalam sentiasa memberi penghormatan kepada Pesta Ponggal.

Beliau berkata demikian selepas pekeliling Kementerian Pendidikan menyatakan umat Islam haram menyambut Pesta Ponggal.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran semalam berkata akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Beliau juga berkata ia merupakan sambutan tahun baru untuk masyarakat Tamil dan bukan perayaan agama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyuarakan pandanganya sama di Facebook hari ini dengan berkata: "Ponggal bukanlah satu perayaan ataupun acara keagamaan. Perayaan ini menandakan sambutan musim menuai dan menandakan kejayaan ataupun kemakmuran yang melimpah.

“Perayaan ini telah lama diraikan di Malaysia. Ia harus dilihat sebagai acara untuk masyarakat kita mengeratkan lagi talian persahabatan, menghormati budaya, mengalakkan perpaduan serta membina negara kita," katanya.

Vaithilingam berkata Ponggal telah disambut berabad-abad lamanya.

"Ponggal telah menjadi perayaan masyarakat Tamil sejak sekian lama. Di Tamil Nadu, India, ia adalah perayaan besar dan ramai yang pulang ke kampung halaman untuk meraikannya. Di Malaysia, ia lebih simbolik.

“Ia perayaan surya. Terdapat hidangan tradisional yang disediakan dari beras yang baru dituai, yang dimasak bersama susu dan gula," katanya lagi.

Vaithilingam berkata unsur-unsur lain dalam Pesta Ponggal termasuk mattu ponggal dan kanni ponggal.

"Mattu ponggal menghormati lembu, yang dianggap sebagai haiwan paling bermanfaat membantu para petani. Ia memberikan susu, menarik kereta lembu untuk pengangkutan dan juga membajak tanah.

"Kanni ponggal adalah untuk gadis-gadis muda yang belum berkahwin untuk mendapatkan jodoh yang baik," katanya.

Vaithilingam juga memetik ucapan Ponggal daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini yang mengucapkan agar rakyat Malaysia diberi kemakmuran pada tahun ini.

Vaitilingam berkata sudah bertahun-tahun Pesta Ponggal telah dirayakan secara aman di Malaysia jika pekeliling tersebut benar, maka ia tidak lain tidak bukan “mestilah kerja daripada beberapa kakitangan awam yang fanatik."

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS