Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembaharuan hak asasi di Malaysia terhenti pada 2019, kata badan pemantau
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Pembaharuan hak asasi yang dijanjikan oleh kerajaan PH terhenti pada tahun 2019 sama ada kerana berundur dari komitmen itu atau menangguhkan tindakan berkaitan, kata badan pemantau Human Rights Watch dalam laporan World Report 2020 hari ini.

"Proses pembaharuan Malaysia sedang gagal kerana pemimpin gabungan pemerintah tidak mempunyai keinginan politik untuk menegakkan prinsip dalam menghadapi seteru politik," kata timbalan pengarah Human Rights Watch Asia, Phil Robertson.

"Kerajaan perlu membuat usaha baru untuk menunaikan janji-janjinya bagi pembaharuan hak asasi manusia," tambahnya.

Dalam laporan 652 muka surat itu, Human Rights Watch mengulas amalan hak asasi manusia di hampir 100 negara.

Laporan itu mengiktiraf bahawa kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa langkah pembaharuan yang positif, seperti memansuhkan undang-undang antiberita palsu, mengetengahkan draf undang-undang IPCMC dan mengukuhkan mengukuhkan kebebasan parlimen untuk mempertimbangkan isu-isu hak.

Bagaimanapun, laporan itu juga, menyorot kegagalan kerajaan untuk mencapai pembaharuan dalam bidang utama seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama, dan hak orang-orang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ia juga menyorot keputusan Malaysia menarik diri dari Statut Rome pada April, tidak sampai sebulan selepas menjadi parti ahli rasmi konvensyen itu.

Selain itu, laporan itu juga menyatakan pengunduran kerajaan dari komitmen untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya.

Rang undang-undang IPCMC dan pindaan hukuman mati dijangka dibentangkan sebaik sahaja parlimen bersidang pada Mac tahun ini.

Laporan Human Rights Watch juga menunjukkan kegagalan kerajaan PH melaksanakan komitmen untuk memansuhkan atau memperbaharui pelbagai undang-undang represif, termasuk Akta Hasutan dan Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

Ia menyorot penggunaan Sosma dalam penahanan 12 individu, termasuk dua penggubal undang-undang DAP mengenai tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Turut disebutkan adalah diskriminasi terhadap komuniti LGBT yang berlaku pada November tahun lalu apabila lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan enam sebatan atas kesalahan "percubaan untuk melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii."

"Rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia akan dinilai berdasarkan pencapaiannya, bukan janji-janjinya.

"Kerajaan masih boleh mengubah rekodnya dengan mempertahankan komuniti terpinggit dalam negara," kata Robertson.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS