Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib mulakan tindakan hina mahkamah pada SPRM, Latheefa

Bekas perdana menteri Najib Razak memutuskan untuk memulakan tindakan penghinaan mahkamah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Perkara itu diputuskan anggota parlimen Pekan ekoran pendedahan sembilan rakaman perbualan telefon Najib Razak oleh SPRM.

Perkara itu disahkan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

"Ya, kami telah buat keputusan (mulakan tindakan), tetapi saya tidak dapat beritahu butiran lanjutnya," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas lanjut, Shafee berkata: "Biar saya beritahu anda. Apa yang saya janjikan minggu lalu, saya pegang janji saya."

Muhammad Shafee Abdullah 

Difahamkan bahawa Shafee tidak dapat mendedahkan butiran lanjut pada masa ini kerana tindakan yang difailkan oleh Najib masih bersifat ex-parte (sebelah pihak sahaja).

Minggu lepas, Shafee memberitahu pemberita bahawa pihaknya sedang menimbang secara serius untuk tindakan menghina mahkamah terhadap SPRM, terutamanya Latheefa.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan rakaman perbualan telefon membabitkan "Najib" berkaitan skandal 1MDB.

Antaranya ialah perbualan Najib dengan mantan ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.

Perbualan lain ialah antara Najib dengan individu berpangkat tinggi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berhubung berhubung tuntutan saman sivil dan pelucutan hak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat serta dana 1MDB yang disalurkan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Turut disiarkan, rakaman perbualan telefon antara Najib dengan isterinya, Rosmah Mansor.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS