Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan menggantung tugas pegawainya yang ditangkap polis sementara menanti siasatan dimuktamadkan.
“Susulan itu, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak mengikut prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang).
“Saya juga akan menggantung tugas pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang terlibat sementara menanti siasatan dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan media ringkas tengah hari ini.
Tidak mendedahkan lanjut butiran itu, Syed Saddiq berkata beliau dimaklumkan berkenaan penahanan beberapa individu awal pagi tadi, termasuk pegawainya oleh pihak polis.
Pegawainya itu dikatakan salah seorang daripada beberapa lagi pegawai menteri dan seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa ditahan polis.
Mereka yang ditahan didakwa positif dadah.
Bagaimanapun maklumat berkaitan yang tersebar di Internet dan laporan media masih saling bercanggah antara satu sama lain.
Polis setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dijangka akan memberi penjelasan lanjut pada sidang media petang ini.
Malaysiakini sedang berusaha untuk mengesahkan lebih banyak maklumat berkenaan serbuan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Adun Dengkil daripada Bersatu Adhif Syan Abdullah menafikan beliau ditangkap dan disahkan positif dadah dalam serbuan di Damansara, pada awal pagi.
Ahli MPP AMK ditahan
Sementara itu, Biro Disiplin Pemuda PKR (AMK) dalam kenyatannya petang ini berkata mereka maklum berkaitan penahanan anggota anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pergerakan itu.
“Biro Disiplin AMK memandang serius terhadap perkara ini dan akan mengkaji sama ada terdapat pelanggaran kod tata etika anggota, mana-mana peruntukan perlembagaan parti atau peraturan AMK dalam kes ini sementara menunggu kenyataan media dari pihak polis,” kata pengerusi biro itu P Arvindran.