Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh roket bedil pangkalan tentera AS di Balad, Iraq
Diterbitkan:  Jan 13, 2020 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

GLOBAL l Pangkalan tentera udara Balad di wilayah Salahudin, Iraq yang sebelum ini menempatkan askar Amerika Syarikat (AS) dibedil tujuh roket Katyusha, menurut sumber lapor agensi berita Xinhua.

Serangan itu berlaku pada Ahad petang apabila roket membedil pangkalan yang terletak kira-kira 90 kilometer ke utara ibu kota Baghdad, mencederakan dua tentera selain menyebabkan kerosakan pada bangunan berhampiran, kata sumber yang enggan namanya disiarkan.

Balad adalah pangkalan tentera terbesar di Iraq, juga dikenali sebagai Logistics Support Activity (LSA) Anaconda.

Markas udara itu menempatkan beberapa anggota tentera AS dan penasihat syarikat Amerika yang mengendalikan jet pejuang Iraq F-16, sebelum program berkenaan ditarik balik kira-kira seminggu lalu, selepas pasukan gabungan yang diketuai Amerika mengumumkan penggantungan operasinya terhadap militan Daesh di Iraq.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Serangan berlaku beberapa hari selepas Qais al-Khazali, ketua Asa'ib Ahl al-Haq, kumpulan militia Syiah yang disokong Iran berkata, kini adalah masa untuk bertindak balas terhadap serangan udara AS.

Ancaman Al-Khazali itu menyusuli tindakan Iran melancarkan peluru berpandu di kawasan perumahan tentera AS yang terletak di markas di wilayah Anbar barat Iraq dan berhampiran bandar Erbil.

Lebih 5,000 tentera AS ditempatkan di Iraq untuk menyokong pasukan Iraq memerangi militan Daesh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS