Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Wangsa Maju lapor polis terhadap pengerusi Ikhlas

Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah atas dakwaan menghasut.

Tan berkata beliau percaya Mohd Ridzuan telah melakukan hasutan dalam dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju, Setapak.

“Saya menafikan segala tuduhan dalam kesemua 157 laporan polis mengenai perkara itu kerana ia adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

“Saya diberitahu bahawa kesemua isi kandungan 157 laporan polis itu adalah sama dan saya percaya ada orang yang menyediakan laporan itu untuk mereka,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, hari ini.

Tan berharap pihak polis menyiasat kesemua laporan serta tuduhan palsu yang didakwa dalam 157 laporan itu.

Sebelum ini, isu tapak Uptown Danau Kota yang diarah tutup pihak berkuasa semakin memuncak apabila lebih 200 peniaga masing-masing membuat laporan polis terhadap Tan yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS