Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki bertopeng tembak rambang, 3 maut di pusat-beli belah di Thailand

GLOBAL | Seorang lelaki bertopeng dan bersenjata melepaskan tembakan secara rambang hingga membunuh tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebelum melarikan diri bersama-sama barang kemas yang dirompak bernilai kira-kira 630,000 baht di sebuah pusat membeli-belah di Wilayah Lop Buri, malam semalam.

Manakala empat pelanggan tempatan termasuk dua wanita berumur 22-44 tahun, mengalami kecederaan di Robinson Shopping Mall, kira-kira 145 kilometer utara Bangkok pada pukul 8.45 malam (waktu tempatan).

Kesemua mereka yang cedera mengalami kesan tembakan di dada dan perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjata itu memakai kemeja-t berwarna hitam dan seluar penyamaran membawa pistol meluru masuk ke pusat membeli-belah itu.

Lelaki berkenaan melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan dan menembak lagi secara rambang ke arah penjual dan pelanggan di dalam kedai.

Seorang kanak-kanak lelaki, yang bersama-sama keluarganya melalui kawasan kedai itu, turut cedera di kepala akibat tembakan itu. Namun dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di hospital berkenaan.

Pegawai keselamatan dan pembantu kedai itu pula meninggal di tempat kejadian.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjata itu melompat ke kaunter dan mengaut beberapa dulang berisi barang kemas sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal berwarna merah-putih tanpa plet lesen.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Pol General Wirachai Songmetta berkata, polis masih memburu suspek berkenaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Jen Prayuth chan o-cha dan Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan mengarahkan pihak berkuasa yang berkenaan agar segera mengesan suspek.

“Ia suatu tindakan yang kejam dan keterlaluan.

“Suspek masih bebas tetapi kita positif untuk mengesan dia tidak lama lagi. Kita akan hadapkan dia ke muka pengadilan,” katanya kepada media selepas melawat tempat kejadian pagi ini.

Polis menawarkan ganjaran sehingga 100,000 baht kepada mereka yang menyediakan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS